BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mendakwa pihaknya melancarkan serangan udara ke atas sebuah bekas tapak pengeluaran serta penyimpanan peluru berpandu milik Hezbollah di timur Lubnan, menandakan serangan kedua di wilayah berkenaan minggu ini.
Menurut kenyataan tentera rejim itu, Tentera Udara Israel melancarkan serangan berpandukan risikan tepat di kawasan Janta, wilayah Beqaa dengan menyasarkan lokasi yang sebelum ini digunakan oleh kumpulan bersenjata berkenaan bagi tujuan penghasilan peluru berpandu serta simpanan senjata.
Jelas kenyataan itu, tapak berkenaan pernah dibedil Angkatan Pertahanan Israel (IDF) beberapa kali sepanjang peperangan lalu, namun pihaknya mengesan kehadiran anggota Hezbollah di lokasi tersebut baru-baru ini lalu bertindak membedil laluan masuknya bagi menghalang usaha pemulihan fasiliti itu.
Agensi Berita Nasional rasmi Lubnan turut melaporkan bahawa pesawat musuh melancarkan lima serangan Udara di timur negara berkenaan.
Pada Isnin lalu, tentera Israel melancarkan pengeboman di wilayah sama dengan mendakwa memusnahkan penghantaran senjata dari Syria ke Lubnan yang dikatakan ditujukan kepada Hezbollah.
Tentera Israel pada Khamis menegaskan pihaknya tidak akan membenarkan Hezbollah memulihkan keupayaan ketenteraan mereka atau mengancam keselamatan orang awam dan anggota tentera Israel.
Kekuatan Hezbollah sebelum ini dilaporkan merosot susulan dua siri peperangan berturut-turut dengan Israel sejak 2023, termasuk apabila kumpulan itu mengheret Lubnan ke dalam konflik Asia Barat pada Mac tahun ini menerusi bedilan roket ke arah Israel yang dibalas dengan serangan udara serta pencerobohan darat.
Bagaimanapun, barisan penggubal undang-undang Hezbollah tetap menegaskan bahawa pergerakan itu sedang giat membina semula keupayaan ketenteraan mereka.
Ketegangan di Lubnan mula mereda sejak Jun lalu susulan persefahaman antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berhubung konflik serantau yang lebih luas, selain perjanjian rangka kerja Israel-Lubnan yang ditaja Washington.
Rangka kerja berkenaan merangkumi pelucutan senjata Hezbollah, pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari selatan Lubnan, serta penempatan semula tentera Lubnan di kawasan tersebut.
Namun, pelaksanaan pelan damai itu kini tergendala apabila Hezbollah enggan menyerahkan senjata mereka.
Tentera Israel masih meneruskan serangan di selatan Lubnan, di mana pasukannya kini beroperasi di dalam kawasan yang diisytiharkan sendiri sebagai zon keselamatan sedalam kira-kira 10 kilometer di sepanjang sempadan. -AFP











