PETALING JAYA: Penyanyi, Shiha Zikir meluahkan rasa kesal apabila niat baik untuk membantu seseorang membina nama dalam industri hiburan akhirnya mengundang kekecewaan, malah dibalas dengan pengkhianatan.
Serik dengan pengalaman tersebut, Shiha turut memberi peringatan kepada syarikat rakaman agar lebih berhati-hati dalam memilih penyanyi baharu, bukan sekadar menilai bakat tetapi juga sikap dan keperibadian mereka.
“Kepada semua syarikat rakaman yang mahu mencari penyanyi baharu, hati-hati. Kadang-kadang kita sudah bantu sehabis baik, akhirnya di belakang.
“Salah Shiha juga sebab terlalu senang memberikan peluang, mudah menyayangi orang dan percaya sepenuhnya dengan kata-kata manis seperti ‘akaklah cahaya bagi saya’.
“Allah Maha Adil. Sekejap sahaja dapat bukti semua itu tanpa kita cari. Allah lorongkan manusia-manusia lain untuk tiba-tiba mendapat tahu perkara ini. Ingat, kalau mahu menjadi penyanyi, kena ada sikap yang baik,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Dalam perkongsian sama, Shiha turut menasihatkan penyanyi baharu agar tidak terlalu membandingkan perjalanan kerjaya sendiri dengan penggiat seni lain yang sudah lama bertapak dalam industri.
“Untuk pendedahan pun rupanya berbunyi di belakang. Kemudian, boleh pula mendengar cakap kawan-kawan yang tiada pengetahuan dalam bidang ini.
“Mulalah dari bawah. Berusaha perlahan-lahan. Jangan bandingkan dengan orang lain yang mempunyai sikap baik, rajin dan sudah lama dalam industri.
“Paling penting, jadilah manusia yang pandai mengenang budi orang yang sudah berusaha macam-macam untuk awak,” tulisnya.
Bagaimanapun, Shiha tidak mendedahkan identiti individu yang dimaksudkan mahupun memperincikan kejadian yang mendorongnya membuat luahan tersebut.











