KOTA TINGGI: Malaysia sedia mempertimbangkan penyertaan semula dalam pasukan pengaman baharu di Lubnan sekiranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih memerlukan penglibatan negara ini selepas mandat sedia ada tamat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesediaan itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan dan mandat yang diberikan oleh badan dunia berkenaan.
Beliau menegaskan Malaysia tidak akan menyertai sebarang operasi ketenteraan termasuklah sebagai pasukan pengaman sekiranya ia tidak berada di bawah mandat rasmi PBB.
“Sekiranya PBB memutuskan untuk mengadakan pasukan pengaman baharu atas apa-apa nama sekalipun dan berkehendakkan penyertaan kita, Malaysia bersedia untuk terlibat.
“Tetapi ia perlulah tertakluk kepada keputusan yang dibuat PBB. Kita tidak akan terlibat sekiranya ia bukan di bawah mandat mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi, di sini hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Kota Tinggi, mandat Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) sedia ada bakal tamat hujung tahun ini, sebelum anggota dan aset dibawa pulang berperingkat bermula Januari tahun depan.
“Anggota akan dibawa pulang menaiki penerbangan, manakala aset-aset yang berada di sana akan dibawa pulang menaiki kapal seawal 17 Januari.
“Saya bangga terhadap komitmen tinggi ditunjukkan anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) sepanjang tempoh 20 tahun kehadiran tentera Malaysia di sana, termasuk 13 tahun berkhidmat sebagai sebuah batalion penuh.
“Keprihatinan tentera Malaysia menyantuni masyarakat tempatan mewujudkan ikatan perhubungan yang amat rapat dengan masyarakat di sana,” katanya.
Kelmarin, Mohamed Khaled memberitahu sebanyak 292 aset Malbatt bernilai kira-kira AS$10 juta (RM40.85 juta) akan diserahkan secara berperingkat kepada Angkatan Pertahanan Lubnan (LAF), susulan proses pengunduran kontinjen negara.-UTUSAN











