Kes genosid Rohingya: AS gesa ICJ tidak dipolitikkan

Kes genosid Rohingya: AS gesa ICJ tidak dipolitikkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) memberi reaksi berhati-hati terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan Myanmar melakukan genosid ke atas etnik minoriti Rohingya, dengan memaklumkan Washington sedang meneliti keputusan tersebut selain menekankan keperluan mengelakkan badan kehakiman itu dipolitikkan.

Reaksi waspada Washington itu hadir meskipun AS sendiri pada 2022 telah mengisytiharkan Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat Rohingya.

Bagaimanapun, kebelakangan ini Washington dilihat menentang satu lagi kes di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu membabitkan dakwaan Afrika Selatan bahawa sekutu rapat AS, Israel, melakukan genosid di Gaza.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tafsiran yang tepat terhadap Konvensyen Genosid adalah amat penting, begitu juga usaha mencegah mempolitikkan ICJ,” kata jurucakap Jabatan Negara AS.

Pegawai berkenaan turut memaklumkan pihaknya sedang mengkaji keputusan berhubung Myanmar itu secara terperinci bagi menilai sepenuhnya implikasi perundangan yang terlibat.

Kenyataan AS itu dikeluarkan selepas mahkamah tertinggi PBB berkenaan memerintahkan supaya pelarian diberikan laluan pulang yang selamat selain menganugerahkan pampasan kepada mangsa.

Keputusan bersejarah itu mencatat rekod pertama dalam tempoh 80 tahun penubuhan ICJ apabila barisan hakimnya memutuskan sebuah negara melakukan genosid, sekali gus dilihat sebagai pembelaan keadilan buat mangsa etnik Rohingya susulan tindakan keras tentera Myanmar pada 2017 terhadap minoriti majoriti Muslim itu.

Dalam kenyataan sama, pegawai AS tersebut menyatakan sokongan terhadap rakyat Myanmar serta berkongsi kebimbangan serius berhubung pencabulan hak asasi manusia yang berterusan terhadap umat Islam Rohingya dan kumpulan minoriti lain.

Beliau juga menggesa lebih banyak perkongsian beban di peringkat antarabangsa dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya.

Bagi lebih sejuta pelarian Rohingya yang kini berlindung di kem pelarian terbesar dunia di seberang sempadan Bangladesh, keputusan penting mahkamah itu memberi sinar harapan ke arah menuntut kebertanggungjawaban atas kekejaman yang menimpa mereka. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini