JPMorgan, Visa, Mastercard jadi mangsa serangan siber

JPMorgan, Visa, Mastercard jadi mangsa serangan siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Tiga gergasi kewangan dan pembayaran global iaitu JPMorgan Chase, Visa dan Mastercard mengesahkan sebahagian data pelanggan mereka terdedah selepas sebuah syarikat subkontraktor yang membekalkan perkhidmatan kepada ketiga-tiga firma itu digodam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga syarikat berkenaan menegaskan tiada sebarang maklumat kewangan sensitif milik pelanggan berjaya dicuri oleh penggodam dalam insiden tersebut.

Bank pelaburan Amerika Syarikat (AS), JPMorgan Chase menerusi satu hantaran di platform media sosial X memaklumkan pihaknya telah dimaklumkan bahawa pihak ketiga yang menyediakan perkhidmatan kepada firma tersebut menjadi sasaran serangan siber, namun tidak mendedahkan identiti syarikat yang terlibat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, kami percaya penyerang telah mengakses data pemasaran tertentu yang disimpan oleh vendor berkenaan yang berkemungkinan merangkumi nama serta alamat emel sebahagian pelanggan,” jelas bank itu.

JPMorgan turut memberi jaminan tiada satu pun perkhidmatan perbankannya terjejas dan insiden pencerobohan data itu tidak mempunyai kaitan dengan gangguan sistem teknologi maklumat yang dialami pelanggan pada awal minggu ini.

Sepanjang minggu lalu, beberapa organisasi utama termasuk JPMorgan Chase, syarikat penerbangan United Airlines, malah Agensi Keselamatan Negara (NSA) AS dilaporkan berdepan masalah gangguan sistem komputer.

Sementara itu, firma keselamatan siber SOCRadar memaklumkan satu kumpulan penggodam dikenali sebagai n0n telah mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan terhadap subkontraktor bank berkenaan serta memuat naik dokumen bagi menyokong dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, SOCRadar menyatakan pihaknya masih belum dapat mengesahkan kesahihan tuntutan kumpulan itu secara bebas.

Menurut firma tersebut, kumpulan penggodam yang berasal dari Russia dan mula dikesan muncul pada September lalu itu mendakwa telah menggodam hampir 200 syarikat di seluruh dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat gergasi pembayaran Visa menegaskan pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan terbabit dan menjelaskan ia berkait rapat dengan seorang pembekal yang berpangkalan di rantau Asia-Pasifik.

“Sistem dalaman Visa tidak terlibat dan tidak terjejas. Tiada sebarang data pembayaran seperti nombor kad pelanggan yang dikompromi,” kata kenyataan itu.

Pesaing utama Visa, Mastercard, turut mengambil nada serupa dengan menjelaskan serangan tersebut hanya mengakibatkan pendedahan maklumat bukan pembayaran dalam jumlah terhad membabitkan sebahagian kecil pemegang kad yang berdaftar di bawah program manfaat tertentu.

Tambah Mastercard, pasukan teknikalnya kini sedang bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan terbabit bagi menyalurkan sokongan sewajarnya kepada pemegang kad yang terkesan. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini