Serangan Houthi rosakkan bangunan tertinggi di Riyadh

Serangan Houthi rosakkan bangunan tertinggi di Riyadh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Satu serangan oleh kumpulan Houthi dari Yeman merosakkan sebuah bangunan pencakar langit ikonik di daerah kewangan Riyadh pada Khamis, sekali gus menjadi insiden terbaharu dalam siri bedilan ke atas Arab Saudi sejak perang saudara Yemen kembali memuncak.

Konflik berkenaan mula meruncing semula pada Julai lalu selepas beberapa tahun berada dalam keadaan agak tenang, menyaksikan pertempuran antara kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dengan sokongan Arab Saudi menentang kumpulan Houthi yang disokong Iran.

Beberapa jam selepas satu letupan kuat menggegarkan ibu negara Arab Saudi itu dan saksi melaporkan kerosakan pada bangunan tertinggi di bandar raya berkenaan, pihak berkuasa mengesahkan serangan tersebut mengenai sebuah menara di Daerah Kewangan Raja Abdullah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kompleks moden yang dipenuhi menara kaca serta pembangunan mewah itu menjadi simbol utama usaha Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman untuk mentransformasikan negara kaya minyak tersebut.

Pegawai Arab Saudi memaklumkan serangan berkenaan merosakkan beberapa tingkat menara terbabit serta dua bangunan bersebelahan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Meskipun pihak berkuasa tidak menamakan bangunan itu secara rasmi, foto yang dikeluarkan agensi pertahanan awam menunjukkan kaca pecah serta kerosakan pada bahagian luar menara yang menempatkan Dana Pelaburan Awam (PIF), iaitu dana kekayaan berdaulat yang menjadi tunjang Wawasan 2030.

Lewat Khamis, kumpulan Houthi yang disokong Iran mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan berkenaan.

Menerusi satu kenyataan di platform X, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree mendakwa pihaknya telah membedil daerah kewangan Riyadh sebanyak dua kali, iaitu sebelum subuh dan sekali lagi pada lewat hari yang sama.

Kumpulan itu turut mendakwa melancarkan serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, sebuah fasiliti petrokimia di Jubail serta pangkalan udara di Khamis Mushait.

Kejadian ini merupakan kali kedua dalam bulan ini sebuah menara di daerah kewangan Riyadh mengalami kerosakan, selepas menara milik gergasi minyak Aramco turut terjejas dalam serangan Houthi pada awal November lalu.

Terdahulu pada Khamis, wartawan AFP di Riyadh mendengar bunyi letupan kuat, manakala pakatan tentera pimpinan Arab Saudi memaklumkan pihaknya telah menangkis ancaman peluru berpandu yang dilancarkan Houthi ke arah Riyadh.

Menurut beberapa kakitangan kepada AFP, kebanyakan pekerja di bangunan PIF itu telah diarahkan bekerja dari jarak jauh sejak awal September lalu.

Pada lewat Khamis juga, penduduk di seluruh Riyadh menerima amaran melalui telefon bimbit mengenai ancaman udara musuh, namun tiada bunyi letupan kedengaran susulan amaran tersebut. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini