NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa Selatan Thailand sekali lagi meletakkan kawalan ke tahap tertinggi bagi memastikan tiada ancaman keselamatan, menjelang perayaan penting masyarakat Buddha, Loy Krathong, Selasa ini.
Walaupun, insiden pengeboman hanya pernah berlaku sekali dalam tempoh 10 tahun lalu iaitu pada November 2016, hari perayaan diadakan, kawalan keselamatan dan pemeriksaan tetap dipertingkatkan selepas siri serangan di Wilayah Yala, Songkhla dan Satun 11 dan 12 November lalu.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, misi utama pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya adalah mencari barang haram, senjata api, narkotik, individu dengan waran tangkap, dan pekerja asing tanpa izin.
Menurutnya, selain penubuhan pusat pemeriksaan sementara, rondaan keselamatan turut dipergiatkan di semua laluan masuk dan keluar setiap wilayah, khususnya di Daerah Hat Yai, Songkhla yang menjadi kawasan utama festival Loy Krathong pada 24 November ini.
“Tentera, polis dan pentadbiran setiap daerah telah diarah meningkatkan kawalan keselamatan menjelang Festival Loy Krathong.
“Pemeriksaan ketat lebih banyak ditumpukan di laluan masuk dan keluar bandar utama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. – UTUSAN











