GAZA: Tentera darat Israel melancarkan operasi ketenteraan darat yang belum pernah dilakukan sebelum ini melepasi garisan kuning wilayah yang dikuasainya di tengah Semenanjung Gaza selepas mengeluarkan arahan pemindahan besar-besaran kepada penduduk setempat.
Saksi berkata, kereta kebal Israel mara ke kawasan timur kem pelarian Nuseirat dan memasuki jalan utama yang menghubungkan utara dengan selatan wilayah itu, diiringi bedilan artileri.
Tentera Israel berkata, operasi yang disifatkan sebagai bersasar itu bertujuan memusnahkan sebuah ‘terowong pengganas’ di sebelah barat Garisan Kuning, yang menandakan kawasan meliputi lebih 60 peratus wilayah Gaza yang diduduki Israel.
Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, yang menguasai baki wilayah Gaza, menuduh Israel melakukan pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada Oktober 2025.
Keganasan terus berlaku di Gaza sejak 13 bulan lalu dengan serangan Israel hampir setiap hari, manakala keadaan kehidupan 2.1 juta penduduk wilayah itu kekal amat membimbangkan.
Pada awal petang Rabu, jurucakap berbahasa Arab badan ketenteraan Israel, Cogat mengumumkan permulaan operasi pencerobohan itu dan memberi amaran kepada penduduk Palestin yang tinggal di kawasan utara kem pelarian Nuseirat dan Bureij supaya menjauhi kawasan berkenaan demi keselamatan mereka.
Cogat turut memaklumkan sebahagian laluan Salah al-Din yang menghubungkan utara dengan selatan dan melalui kawasan itu akan ditutup kepada lalu lintas.
Hamas dalam satu kenyataan memberi amaran kemaraan kenderaan tentera Israel melepasi Garisan Kuning serta arahan pemindahan penduduk merupakan perkembangan berbahaya dan pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata.
Rakaman yang diterbitkan media Palestin dan dikongsi di media sosial menunjukkan keluarga melarikan diri dari kawasan berhampiran kem Nuseirat selepas pengumuman itu dibuat.
Dalam satu video yang disahkan oleh BBC Verify, seorang lelaki dilihat menundukkan badan selepas terdengar bunyi bedilan artileri sebelum berlari di sepanjang jalan Salah al-Din, kira-kira 1.5 kilometer ke barat Garisan Kuning.
“Penjajah Israel melepaskan tembakan secara rambang berhampiran rumah dan khemah penduduk,” katanya.
Bunyi tembakan senjata automatik turut kedengaran dalam satu lagi video yang dirakam di kawasan tenggara lokasi berkenaan.
Seorang penduduk Nuseirat yang terpaksa melarikan diri memberitahu program Middle East Daily BBC, keadaan ketika ini amat buruk dengan tentera Israel melepaskan tembakan tanpa membezakan sasaran ke kawasan yang menjadi tempat perlindungan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
“Kami tidak sempat membawa sebarang barangan, malah selimut, bantal atau pakaian. Kami tiada pilihan selain meninggalkan semuanya,” katanya.
Seorang lagi penduduk turut melaporkan kejadian tembakan rambang dan bedilan serta mendakwa terdapat ramai mangsa, termasuk yang terkorban.
Agensi Pertahanan Awam Gaza yang ditadbir Hamas berkata, tiga orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam tiga serangan dron Israel berasingan pada Rabu.
Menurut agensi itu, seorang lelaki terbunuh di Nuseirat, seorang lagi di Gaza City di utara, manakala mangsa ketiga di bandar Deir al-Balah di tengah Gaza.-AGENSI











