PORTIMAO: Marc Marquez berpeluang mengesahkan gelaran dunia Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2026 pada Grand Prix Portugal hujung minggu ini, namun mengakui Litar Portimao, Portugal bukan gelanggang yang banyak memberikan tuah kepadanya.
Pelumba Ducati itu belum pernah memenangi perlumbaan utama di Portimao, meskipun berpeluang meraih gelaran dunia kelas utama kelapan dan kejuaraan dunia keseluruhan ke-10 di sana.
Marquez hadir dengan keyakinan selepas mencatat keputusan tempat pertama dan kedua di Qatar dua minggu lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas kejuaraan dunia.
“Kami melakukan tugas yang hebat di Qatar. Di litar yang sering menyukarkan saya sebelum ini, kami mencatat dua keputusan baik dan menambah kelebihan dalam kejuaraan.
“Di sini, kami berpeluang mengesahkan gelaran, tetapi pendekatan kami tidak boleh berubah. Kami perlu kekal berpijak di bumi nyata dan memberikan yang terbaik secara berperingkat, bermula Jumaat hingga perlumbaan Ahad,” kata Marquez.
Menurutnya, Portimao merupakan litar yang menarik, teknikal dan mencabar, namun beliau mengakui bahawa dirinya kurang bernasib baik di situ, sekali gus perlu memberikan tumpuan sepenuhnya adalah perkara penting sepanjang perlumbaan berlangsung.
Pada 2023, Marquez meraih petak pertama dan menaiki podium perlumbaan Sprint, namun kemalangan pada perlumbaan utama menyebabkan ibu jarinya patah selepas turut melibatkan Miguel Oliveira.
Setahun kemudian, beliau sekali lagi gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam pertembungan dengan Francesco Bagnaia, ketika sedang memburu tempat keempat dalam perlumbaan utama tersebut.
Marquez turut terlepas perlumbaan di Portimao pada 2022 dan 2025 akibat kecederaan, menjadikan cabaran kali ini lebih bermakna jika berjaya menamatkan penantian kemenangan di litar berkenaan.
Sementara itu, Iker Lecuona akan menggantikan Bagnaia pada Grand Prix Portugal selepas pelumba Itali itu disahkan tidak dapat beraksi kerana masih belum pulih daripada kecederaan patah kaki, sekali gus mendapat peluang pertama beraksi bersama pasukan pengeluar Ducati di Portugal. – AGENSI











