NEW DELHI: Polis Trafik Delhi merancang menghubungi Google bagi memohon supaya laluan melalui ibu negara India itu tidak lagi menjadi pilihan utama dalam Google Maps bagi kenderaan yang tidak mempunyai destinasi di New Delhi.
Langkah itu bertujuan mengalihkan kenderaan terbabit ke laluan lingkaran luar bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara akibat pelepasan asap kenderaan.
Dua pegawai yang mengetahui cadangan itu berkata, pihak polis akan meminta Google membuat penyesuaian terhadap sistem navigasinya.
Menurut mereka, langkah itu susulan arahan Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara (CAQM) kepada Polis Trafik Delhi dan pihak berkuasa berkaitan supaya mengambil tindakan bagi melancarkan aliran trafik, terutama di kawasan yang sering mengalami kesesakan.
Dalam mesyuarat CAQM kelmarin, Polis Trafik Delhi membangkitkan isu kenderaan yang menggunakan jalan raya di Delhi sebagai laluan transit untuk menuju ke negeri lain.
Keadaan itu berlaku apabila aplikasi navigasi sering mencadangkan laluan melalui bandar berkenaan kerana dianggap lebih pendek dan mudah, terutama ketika bukan waktu puncak.
“Kami merancang untuk menulis surat kepada Google bagi memohon campur tangan yang sesuai dalam sistem navigasinya. Langkah itu pastinya dapat mengurangkan jumlah kenderaan di bandar ini,” kata seorang pegawai berkenaan.
Polis Trafik Delhi berkata, kesesakan lalu lintas kerap berlaku di beberapa kawasan tumpuan seperti Sadar Bazar, Sarojini Nagar dan Lajpat Nagar.
Sehubungan itu, perbincangan bersama persatuan penduduk dan peniaga sedang dijalankan bagi meneliti cadangan pelaksanaan sistem jalan sehala serta penyelarasan kadar caj parkir oleh Perbadanan Perbandaran Delhi (MCD) dan Majlis Perbandaran New Delhi (NDMC).
“Kami sebelum ini mencadangkan supaya jalan di dalam kawasan pasar dijadikan sehala, selain mengawal aktiviti memuat dan memunggah barangan.
“Bagaimanapun, peniaga dilihat kurang berminat kerana menjangkakan langkah itu akan mengurangkan jumlah pengunjung dan menjejaskan perniagaan mereka.
“Namun, susulan arahan CAQM, kami akan meminta peniaga mempertimbangkan semula cadangan berkenaan,” kata pegawai itu.- AGENSI











