KUALA LUMPUR: Inisiatif ‘Bangun, KL! Ke Arah KL Yang Lebih Sejahtera’ disifatkan pendekatan yang lebih baik berbanding tidak melakukan sebarang tindakan bagi menangani isu kesesakan lalu lintas di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, sekurang-kurangnya inisiatif tersebut menunjukkan semua pihak telah cuba memainkan peranan masing-masing bagi memperbaiki keadaan semasa.
Katanya, pelaksanaan inisiatif sedemikian juga tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada pendekatan lebih luas untuk memperbaiki kualiti persekitaran bandar secara berterusan.
“Saya mengakui bahawa tidak semua pendekatan mampu memenuhi keperluan setiap pihak dalam menangani isu kesesakan, namun usaha pelbagai pihak tetap penting dalam mencari penyelesaian berperingkat.
“Selain itu, pelbagai inisiatif bersama syarikat swasta telah dilaksanakan termasuk kerjasama dengan Zus Coffee bersama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bagi inisiatif ‘Bangun, KL! Ke Arah KL Yang Lebih Sejahtera’ serta CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) menerusi program “Moving KL Forward”.
“Kita bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mahu terlibat asalkan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar Memorandum Kerjasama (MoC) CIMB bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Institut Latihan DBKL hari ini.
Sebelum ini, menerusi platform media sosial Threads, segelintir pengguna mempertikaikan inisiatif ‘Bangun, KL! Ke Arah KL Yang Lebih Sejahtera’ yang didakwa hanya bersifat pendekatan pemasaran dan tidak menangani secara langsung isu kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing di ibu negara.
Tambah Hannah, pihak kerajaan sentiasa mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak swasta kerana kerjasama tersebut membantu mewujudkan suasana bandar yang lebih rancak.
Katanya, aspek tersebut adalah penting kerana penglibatan sektor swasta itu mampu mencipta vibrasi dan pembangunan bandar.
“Penglibatan pelbagai syarikat turut membantu mewujudkan ekosistem bandar yang lebih aktif, dinamik dan berdaya saing.
“Apa yang penting kami hanya mahu melakukan pelbagai perkara untuk kesejahteraan rakyat.
“Selain itu, DBKL juga akan mengadakan satu lagi sidang media minggu depan, selain merancang pembinaan lebih banyak infrastruktur agar masalah seperti kesesakan lalu lintas ini dapat diatasi.,” katanya. – UTUSAN










