Ratusan keranda, 'lidah emas' ditemukan di kubur purba Mesir

Ratusan keranda, ‘lidah emas’ ditemukan di kubur purba Mesir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Penemuan sebuah tanah perkuburan purba yang menempatkan ratusan keranda, lidah emas dan barang kemas di wilayah Menoufia, utara Mesir, membuka lembaran baharu dalam kajian sejarah tamadun negara itu.

Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir dalam kenyataan pada Rabu berkata, penemuan di Tell Kom Abu Billo itu merangkumi keranda batu dan tembikar, sisa keranda kayu serta makam berkubah yang dibina menggunakan batu bata lumpur.

Tapak perkuburan itu dipercayai digunakan sejak penghujung Zaman Akhir Mesir, era Ptolemy hingga awal zaman Rom.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kajian awal mendapati sebahagian besar kawasan perkuburan berkenaan berasal dari abad ketiga dan kedua Sebelum Masihi (SM).

Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti, Hisham El-Leithy berkata, penemuan sejumlah besar kubur dan keranda yang ditempatkan di kawasan lapang merupakan sesuatu yang belum pernah ditemukan sebelum ini di tapak berkenaan.

Pemeriksaan awal terhadap barangan yang ditanam bersama jenazah pula menunjukkan kawasan perkuburan itu kebanyakannya digunakan oleh golongan masyarakat kelas pertengahan.

Sementara itu, sisa struktur binaan turut ditemukan di bawah timbunan pasir dan runtuhan di kawasan sekitar, sekali gus memberi petunjuk bahawa masih terdapat banyak struktur lain yang belum digali.

Antara artifak yang ditemukan ialah kepingan emas berbentuk lidah, subang, loket rantai leher dan helaian emas nipis, selain azimat kumbang scarab serta patung kecil pengebumian yang dikenali sebagai ushabti. Sebahagian patung itu turut mempunyai inskripsi tulisan hieroglif.

Ahli arkeologi turut menemukan arca sphinx bersaiz kecil, serpihan patung dewa berkepala helang, Horus serta dua kubur burung helang di celah-celah keranda.

Penemuan lain menggambarkan Isis-Aphrodite, termasuk artifak tanah liat yang memaparkan dewi itu duduk di atas bunga teratai sambil menyusukan bayi Harpocrates.

Sebahagian keranda ditemukan tanpa penutup, manakala yang lain pecah akibat kerosakan dan aktiviti pengkuarian sebelum ini.

Tanah perkuburan itu terletak dalam kawasan arkeologi Terenouthis purba, di pintu masuk timur Wadi El Natrun yang sejak dahulu menjadi sumber garam natron, bahan penting dalam proses mumifikasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini