KAHERAH: Seorang pengacara wanita televisyen Mesir dijatuhi hukuman mati bersama 11 individu lain atas kesalahan memproses dan mengedar bahan terlarang.
Sarah Khalifa terkenal menerusi kemunculannya dalam rancangan Mission Impossible, sebuah program televisyen Mesir yang membongkar isu keselamatan dan jenayah selain mempunyai 2.5 juta pengikut di laman Instagram.
Bagaimanapun, wanita berusia 39 tahun itu dilaporkan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah Kaherah pada Sabtu atas peranan beliau dalam sebuah kumpulan jenayah terancang.
Akhbar berkaitan kerajaan, Al-Ahram, melaporkan bahawa Khalifa bersama 11 lagi tertuduh dijatuhi hukuman tersebut atas pertuduhan membentuk kumpulan jenayah terancang yang khusus dalam menghasilkan bahan untuk pembuatan narkotik bagi tujuan pengedaran,memiliki dan membawa senjata api serta amunisi tanpa lesen.
Pihak berkuasa Mesir dilapor merampas lebih 750 kilogram dadah dan bahan mentah.
Mereka turut membongkar dua buah apartmen yang dijadikan makmal pemprosesan, selain menemui senjata api dan amunisi tanpa lesen.
Kesemua 12 tertuduh dituduh memproses narkotik sintetik bagi tujuan pengedaran dengan membawa masuk bahan pembuatan dari luar negara, menurut laporan media kerajaan.
Keputusan bersalah itu disampaikan minggu ini selepas Mufti Besar Mesir dirujuk bagi mendapatkan pandangan agama.
Ia merupakan prosedur yang diwajibkan oleh undang-undang Mesir bagi kes yang melibatkan hukuman mati.
Bagaimanapun, keputusan berkenaan masih boleh difailkan rayuan. – AGENSI










