Penstrim TikTok hina pekerja kedai serbaneka demi raih tontonan, hadiah

Penstrim TikTok hina pekerja kedai serbaneka demi raih tontonan, hadiah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Sekumpulan penstrim langsung didakwa sengaja menghina dan mencetuskan provokasi terhadap pekerja kedai serbaneka bagi meraih tontonan serta hadiah maya daripada penonton di aplikasi TikTok.

Tindakan itu terbongkar selepas dua video memaparkan kejadian berkenaan tular di media sosial semalam.

Menurut laman berita Facebook, Jmoi V+, kumpulan itu menggunakan taktik menawarkan bayaran pembelian kepada pengguna bagi menarik mereka mengunjungi kedai serbaneka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peserta diberikan senarai barangan untuk dibeli dan diminta menyiarkan kunjungan mereka secara langsung menerusi kerjasama dengan kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, sebaik peserta tiba di kedai, kumpulan penstrim langsung itu mula mencetuskan pertengkaran dengan pekerja di kaunter pembayaran.

Dalam video pertama, seorang peserta diarahkan mengambil beberapa barangan dengan janji kumpulan itu akan membayar kos pembelian berkenaan.

Namun, apabila tiba di kaunter, kumpulan itu enggan membuat bayaran sebelum memaki hamun pekerja kedai. Mereka turut menggalakkan peserta supaya menyertai tindakan menghina kakitangan berkenaan.

Seorang penstrim langsung kedengaran menengking pekerja wanita kerana memakai pelitup muka, malah mengugut untuk menampar mukanya.

Seorang lelaki lain pula mengeluarkan kata-kata berunsur seksual dengan mendakwa pekerja itu memakai pelitup muka untuk menyembunyikan identiti kerana menawarkan khidmat seks.

Dalam video kedua, kumpulan itu mengarahkan seorang peserta wanita bersama rakannya memesan 10 cawan minuman di sebuah kedai serbaneka CJ.

Seorang pekerja meminta bayaran dibuat sebelum pesanan disediakan, namun kumpulan itu enggan berbuat demikian.

Sebaliknya, penstrim langsung berkenaan mendesak pekerja menyediakan minuman terlebih dahulu, selain mengkritik mereka tanpa alasan jelas dan menghasut peserta wanita itu supaya turut menghina kakitangan kedai.

Walaupun pekerja sudah menyediakan tiga cawan minuman, kumpulan itu kemudian mengarahkan peserta meninggalkan kedai tanpa membuat sebarang pembelian.

Menurut Jmoi V+, tugasan berkenaan sengaja dirancang bagi menarik tontonan dan hadiah maya daripada penonton di aplikasi TikTok.

Laman itu turut mendakwa peserta yang direkrut untuk melaksanakan tugasan berkenaan kebanyakannya terdiri daripada golongan muda, selain menggesa pihak berkuasa menyiasat kegiatan itu bagi mengelakkan peserta dan pekerja kedai serbaneka terus menjadi mangsa.

Susulan penularan video berkenaan, CP All, pengendali rangkaian kedai 7-Eleven di Thailand, mengesahkan pihaknya sudah membuat laporan polis.

Syarikat itu berkata, pihaknya mengutamakan hak, maruah dan keselamatan pekerja serta tidak boleh menerima sebarang bentuk keganasan atau penghinaan secara lisan terhadap kakitangannya mahupun individu lain.

Menurutnya, laporan polis dibuat bagi melindungi pekerja syarikat berkenaan.

Sementara itu, CJ More, syarikat yang mengendalikan kedai serbaneka dalam video kedua, masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu.

Identiti dan jumlah individu yang terbabit dalam kumpulan penstrim langsung berkenaan masih belum dikenal pasti, manakala polis belum mengumumkan sama ada mereka akan dipanggil untuk membantu siasatan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini