SHAH ALAM: “Titah Sultan Selangor menyebut tidak dibenarkan (bina ladang babi di Selangor), jadi soalan provokasi itu kita tamatkan di sini.”
Demikian maklum balas diberikan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail berkenaan pembinaan ladang babi di negeri ini yang dibangkitkan dalam perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026.
Beliau berkata, soalan bersifat provokasi itu perlu dihentikan berdasarkan titah baginda yang memuktamadkan larangan pembinaan ladang babi di negeri ini.
“Saya hendak menjawab soalan provokasi, kita sedia maklum titah Sultan Selangor sudah menyebut tidak dibenarkan, jadi soalan provokasi itu kita tamatkan di sini. Hendak mencelah lagi? Banyak mencelah, banyak nanti saya jawab,” katanya pada penggulungan perbahasan tersebut, hari ini.
Terdahulu, Dr. Affif Bahardin (PN-Taman Medan) dalam celahannya ketika penggulungan tersebut membangkitkan isu pembinaan ladang babi sekiranya ia boleh dibina di Sabak Bernam atau tidak selepas.
Tindakan berkenaan dibuat selepas DUN Selangor hari ini menolak usul yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi merujuk Wong Siew Ki (PH-Seri Kembangan) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dewan susulan perbahasannya yang membangkitkan rasa dukacita terhadap titah Sultan Sharafuddin.
“Saya hendak faham, kenapa Speaker hari ini tolak usul yang kita bawa, sebab usul itu selari dengan pendirian kerajaan negeri, titah Sultan Selangor bahawa kita tidak setuju dengan apa disebut oleh Seri Kembangan.
“Kita sebagai ahli dewan, kita ada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk merujuk ahli dewan. Bahkan sebelum ini apabila Gombak Setia dirujuk, dalam peristiwa itu tiada siapa pun yang membuat usul.
“Tetapi, dengan satu usul dihantar kepada Speaker, ia ditolak. Sepatutnya usul dibawa diterima supaya kita rujuk,” tegasnya.
Bagaimanapun, Timbalan Speaker Mohd. Kamri Kamaruddin memaklumkan perkara itu sudah diputuskan oleh Speaker dan meminta Rizam untuk meneruskan penggulungan.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan Siew Ki menegaskan isu penternakan babi di Selangor tidak seharusnya dibezakan dengan haiwan lain.
Beliau berkata, risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi adalah sama seperti dihadapi oleh penternakan haiwan lain.
Susulan itu, Khamis lalu, Dr. Afif Bahardin (PN-Taman Medan) mengemukakan usul kepada Setiausaha DUN Selangor supaya Siew Ki dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menurut Peraturan Tetap 36(20) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor. – UTUSAN










