PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin masih Perdana Menteri walaupun Malaysia sekali lagi terjerumus dalam kancah politik kedua untuk tempoh 18 bulan selepas ‘Langkah Sheraton’ yang membawa kepada ‘keruntuhan’ Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataan menegaskan, buat masa ini kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Menurut beliau, berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik.
“Oleh itu, dari segi undang-undang, Perdana Menteri dan Kabinet sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan,” kata Peguam Negara itu dalam kenyataan semalam.
Semalam Malaysia sekali lagi berdepan krisis politik selepas UMNO melalui Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin secara serta-merta.
Ahmad Zahid memaklumkan keputusan tersebut dibuat UMNO berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Bagi memenuhi mandat sebulat suara perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat, maka tempoh memberi sokongan kepada Muhyiddin ditarik balik dan ditamatkan serta-merta,” kata Ahmad Zahid menerusi sidang akhbar secara dalam talian awal pagi semalam.
Susulan keputusan itu, kata Ahmad Zahid, UMNO mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baharu dilantik bagi tempoh terhad.
Selepas pengumuman tersebut, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Idris, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein di kediaman beliau di Jalan Setiabakti 2, Bukit Damansara.
Ismail Sabri dan Hishammuddin daripada UMNO baru dilantik kelmarin.
Turut menemui Muhyiddin ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin manakala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dilihat menjadi menteri terakhir memasuki kediaman Perdana Menteri pada pukul 5.05 petang.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan fokus dan hasil pertemuan tersebut tetapi banyak yang mengaitkan ia susulan pengumuman Presiden UMNO yang mengumumkan menarik balik sokongan kepada PN.
Wartawan yang `berkampung’ di kawasan kediaman Muhyiddin gagal mendapat maklumat daripada menteri-menteri yang keluar masuk bersilih ganti.
Polis yang mengawasi kawasan tersebut pula memberi amaran kepada petugas media untuk sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.
Kesan kemelut politik itu turut mengheret Indek Bursa Malaysia jatuh 21.44 mata sekali gus mengakibatkan negara ‘kehilangan’ berbilion ringgit semalam.
Kejatuhan tersebut adalah reaksi serta-merta pelabur yang bimbang dengan perkembangan politik semasa yang tidak menentu.
Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 21.44 mata kepada 1,508.71 berbanding penutupan urus niaga Rabu pada 1,530.15. Indeks mencecah paras 1,504.63 mata, susut 25.52 mata sejam sebelum itu. Ia kejatuhan terburuk dalam tempoh hampir sembilan bulan, sejak November 2020.
Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi laman sosial beliau semalam berkata, pendirian UMNO sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat malah parti itu juga diasaskan demi memperjuangkan rakyat.
Beliau menegaskan, perkara itu terus menjadi pendirian UMNO selain memperjuang kaum Melayu, memuliakan agama Islam, memelihara kehormatan institusi diraja dan membangunkan negara.
“Sebagai parti politik, kejelasan sebuah pendirian sangat penting, tanpa pendirian, UMNO jadi hanya sebuah parti terdaftar, bukan sebuah perjuangan.
“Dalam keadaan negara yang sangat meleset, justeru UMNO wajar tampil dengan sebuah pendirian. Membiarkan kemelesetan negara ini menerus, laksana UMNO merestuinya. Pendirian UMNO mesti berpaksikan aspirasi rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat,” katanya.
Sementara itu, pakar perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari pula berkata, secara teknikalnya, Kerajaan PN sudah tumbang sebaik UMNO menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa semalam.
Menurut beliau, apa yang ada sekarang adalah kerajaan sementara untuk menunggu pembentukan kerajaan baharu.
“Kerajaan baharu ini akan mentadbir negara hingga tamat tempoh Parlimen yang ada sekarang,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz memberitahu, berikutan itu blok terbesar ketika ini ialah di bawah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 89 ahli parlimen.
“Sebab itu beliau (Anwar) berhak diberi peluang untuk membentuk kerajaan,” katanya. – UTUSAN










