Bahrain jadi medan baharu perang

Bahrain jadi medan baharu perang

KEPULAN asap kelihatan selepas Iran dilaporkan menyerang tangki-tangki bahan api di Muharraq, Bahrain pada 12 Mac lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANAMA: Bahrain semakin terheret dalam konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran apabila sistem pertahanan udaranya memintas serangan Iran pada Rabu, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan negara Teluk itu.

Serangan terbaharu itu merupakan yang keempat dalam tempoh enam hari selepas Teheran turut melancarkan serangan pada 13, 15 dan 17 November, sekali gus menamatkan tempoh beberapa minggu tanpa serangan Iran terhadap negara-negara Teluk sejak September lalu.

Kedudukan Bahrain yang menempatkan Armada Kelima Tentera Laut AS menjadikan negara kecil itu lokasi strategik dalam konflik berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelmarin, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa melancarkan serangan dron ke atas sistem radar tentera AS di Pangkalan Udara Sheikh Isa sebagai tindak balas terhadap dakwaan pencerobohan berterusan dron tentera AS ke ruang udara Iran.

Bagaimanapun, Bahrain dan AS mengesahkan serangan itu berjaya dipintas, manakala angkatan tentera Bahrain mendakwa beberapa serangan udara Iran turut dipintas dan dimusnahkan sebelum mencapai sasaran.

AS kemudian melancarkan serangan terhadap sebuah tapak pelancaran peluru berpandu Iran pada hari sama, meskipun rundingan antara Teheran dengan negara perantara, Oman dan Qatar, sedang berlangsung.

Ketegangan turut meningkat apabila AS menggerakkan kapal induk USS Theodore Roosevelt ke rantau itu, menjadikan jumlah kumpulan penyerang kapal induknya meningkat kepada tiga, selain kehadiran lebih 12 kapal pemusnah.

Serangan berulang itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk Bahrain apabila Kementerian Dalam Negeri negara itu mengeluarkan dua amaran ancaman pada Rabu.

Kementerian menggesa penduduk berpindah ke lokasi selamat sebelum mengumumkan keadaan kembali terkawal selepas setiap amaran.

Sementara itu, Qatar menggesa semua pihak supaya menahan diri, manakala Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Oman, Badr Albusaidi di Muscat bagi membincangkan usaha meredakan ketegangan dan menghidupkan semula rundingan.- AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini