WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) secara rasmi kehilangan status negara bebas demam campak selepas lebih dua dekad berikutan peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat penyakit itu.
Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO), agensi kesihatan serantau di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengesahkan virus demam campak daripada strain sama terus menular di AS selama lebih 12 bulan.
Pengarah PAHO, Dr Jarbas Barbosa, turut mengumumkan Mexico dan Bolivia kehilangan status penghapusan demam campak, sambil menyifatkan kebangkitan semula wabak di rantau itu berpunca daripada jurang liputan vaksinasi yang berterusan.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS dalam kenyataan balas memaklumkan pihaknya komited untuk mendapatkan semula status berkenaan dengan memperluas akses kepada vaksin di seluruh negara.
AS merekodkan 5,400 kes demam campak dan 10 kematian setakat tahun ini, angka tertinggi sejak 1990-an.
Demam campak, yang menyebabkan ruam merah pada kulit, sebelum ini menjangkiti jutaan kanak-kanak setiap tahun sebelum vaksin diperkenalkan.
Virus yang sangat mudah berjangkit itu boleh membawa maut. Pesakit juga berisiko mengalami komplikasi jangka panjang, termasuk radang otak dan amnesia imun yang melemahkan keupayaan sistem pertahanan badan untuk melawan jangkitan baharu.
Pihak berkuasa kesihatan AS mengesyorkan kanak-kanak berusia antara satu hingga enam tahun menerima dua dos vaksin demam campak, beguk dan rubela (MMR), yang terbukti 97 peratus berkesan mencegah jangkitan.
PAHO menarik balik status penghapusan demam campak AS selepas mendapati virus berkenaan terus menular melebihi tempoh setahun.
“Angka-angka ini merupakan amaran serius buat rantau kita. Demam campak kembali menular di peringkat global ketika jurang liputan vaksinasi masih berlarutan,” kata Barbosa pada sidang media Selasa.
Beliau bagaimanapun berkata Kanada, yang kehilangan status bebas demam campak tahun lalu selepas beberapa kluster penularan besar, menunjukkan kemajuan positif tahun ini dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan.
Sementara itu, Pengurus Eksekutif Imunisasi PAHO, Daniel Salas, berkata AS dan negara lain yang kehilangan status berkenaan perlu mengemukakan pelan tindakan pembetulan yang memperincikan strategi meningkatkan kadar vaksinasi. – BBC











