KUALA LUMPUR: Sumbangan industri pusat data kepada ekonomi negara, dakwaan kewujudan mafia korporat dan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) meminta Menteri Digital menjelaskan nilai ekonomi sebenar yang dijana industri pusat data daripada segi peluang pekerjaan, gaji berkemahiran tinggi, kutipan cukai dan penggunaan vendor tempatan berbanding nilai pelaburan yang diumumkan.
Sementara itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan mafia korporat dalam agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam pada itu, Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) meminta Perdana Menteri memperincikan garis masa penambahan kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak mengikut nisbah satu pertiga serta pelaksanaan formula pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat dijadual meneruskan pertimbangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat Jawatankuasa, termasuk usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 berjumlah RM85 bilion.
Persidangan turut dijadual meneruskan urusan beberapa rang undang-undang termasuk Rang Undang-Undang Kewangan 2026, Rang Undang-Undang Pengangkatan (Pindaan) 2026 dan Rang Undang-Undang Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini (Pindaan) 2026. – UTUSAN











