MOSCOW: Sebahagian struktur Jambatan Crimea yang menghubungkan Russia dengan Semenanjung Crimea runtuh susulan serangan Ukraine, manakala dua jambatan utama di Kyiv turut diserang tentera Moscow pada malam sebelumnya.
Serangan terhadap dua jambatan di ibu negara Ukraine itu menyebabkan sebahagian besar kegiatan di bandar berkenaan tergendala pada Selasa.
Jambatan Crimea, yang turut dikenali sebagai Jambatan Kerch, merupakan laluan bekalan penting bagi tentera Russia selain mempunyai nilai simbolik besar kepada Presiden Vladimir Putin.
Pembinaan jambatan bernilai berbilion dolar itu menjadi keutamaan Putin selepas Russia mengilhakkan Semenanjung Crimea dari Ukraine pada 2014.
Dalam tempoh enam bulan lalu, Ukraine meningkatkan serangan terhadap Crimea sehingga memaksa pihak berkuasa yang dilantik Russia mengisytiharkan darurat pada musim panas lalu susulan gangguan bekalan elektrik secara meluas dan kekurangan bahan api di wilayah berkenaan.
Serangan terbaharu itu berlaku menjelang pertemuan Putin dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping di Asia, sekali gus menambah kepentingan simbolik insiden berkenaan.
Serangan terhadap jambatan itu menyebabkan Yalta, sebuah bandar di Crimea yang diilhakkan Russia, terputus hubungan darat dengan tanah besar Rusia sehingga kerja-kerja pembaikan selesai.
Menteri Pertahanan Ukraine, Yevhenii Khmara berkata, serangan itu dilancarkan sepenuhnya menggunakan senjata buatan Ukraine yang dibangunkan menerusi teknologi dan kepakaran negara itu sendiri.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut mengesahkan pada Selasa peluru berpandu dan dron buatan tempatan digunakan dalam serangan berkenaan.
Beliau berkata, peluru berpandu Neptune menyasarkan laluan kereta api di jambatan itu, manakala dron Palianytsia digunakan untuk menyerang bahagian jalan raya.
“Dalam fasa penting operasi hari ini, dron Palianytsia menunjukkan prestasi cemerlang apabila menyerang bahagian jalan raya jambatan itu, manakala peluru berpandu Neptune, dron Ruta dan FP-5 menyasarkan bahagian landasan kereta api,” kata Zelensky dalam kenyataan yang dimuat naik di platform X.
Beliau berkata, serangan itu merupakan fasa ketujuh dalam operasi yang disifatkannya ‘belum pernah berlaku sebelum ini’, sebagai tindak balas terhadap serangan Russia ke atas infrastruktur Ukraine.- CNN











