PETALING JAYA: Identiti seorang lelaki yang maut dalam serbuan dadah membabitkan rampasan syabu bernilai RM858,000 di Tawi-Tawi, selatan Filipina, semalam masih belum dapat disahkan sebagai rakyat Malaysia.
Ini berikutan tiada dokumen pengenalan diri yang sah ditemukan pada individu berkenaan bagi mengesahkan kewarganegaraannya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA).
“Walau bagaimanapun, identiti individu berkenaan masih belum dapat disahkan. Pihak kami sedang mengambil tindakan lanjut bagi tujuan pengesahan.
“Dakwaan bahawa suspek merupakan warganegara Malaysia setakat ini hanya berdasarkan penemuan kad klinik swasta di Sabah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya, JSJN sedang mendapatkan maklumat lanjut, termasuk rekod cap jari bagi mengesahkan identiti serta kewarganegaraan individu terbabit.
Terdahulu, suspek yang dikenal pasti pihak berkuasa Filipina sebagai Janimal Hajad atau dikenali sebagai ‘Ungod’ maut bersama rakan subahat yang juga warga Filipina, Sansibar Amirul Amil, dalam operasi serbuan di Barangay Tubig Mampallam, Bongao, Tawi-Tawi.
Operasi pada pukul 4.50 petang semalam itu dijalankan ejen PDEA dengan kerjasama polis serta pasukan marin negara berkenaan.
Pegawai PDEA Wilayah Tawi-Tawi, Abraham Solon Kalim berkata, kedua-dua suspek didakwa melepaskan tembakan ke arah anggota penguat kuasa selepas menyedari mereka berurusan dengan anggota penyamaran anti narkotik.
Suspek dilaporkan cuba melarikan diri menaiki bot kayu berenjin sambil melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan sebelum kedua-duanya maut dalam kejadian berbalas tembakan itu.
Dua wanita yang belum dikenal pasti identitinya turut cedera terkena peluru sesat dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala tiada anggota penguat kuasa dilaporkan cedera. – UTUSAN











