Hakim batal dasar Trump hadkan tempoh visa pelajar, wartawan asing

Hakim batal dasar Trump hadkan tempoh visa pelajar, wartawan asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) membatalkan dasar baharu pentadbiran Presiden, Donald Trump yang berhasrat mengenakan had tempoh lebih ketat terhadap pelajar serta wartawan asing untuk menyambung pengajian atau bekerja di negara itu.

​Hakim Daerah, Dennis Saylor dalam perintah penghakimannya menyifatkan dasar berkenaan sebagai sewenang-wenangnya, tidak munasabah, menyalahgunakan budi bicara serta bertentangan dengan lunas undang-undang sedia ada.

​Peraturan visa baharu tersebut sebelum ini dijadualkan berkuat kuasa pada September lalu namun ditangguhkan sementara oleh Saylor, iaitu satu keputusan yang telah pun dirayu oleh pentadbiran Trump di mahkamah lebih tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

​Keputusan hakim itu dibuat susulan tuntutan saman mencabar sekatan visa berkenaan yang difailkan terhadap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) oleh gabungan kesatuan mewakili institusi universiti, golongan pendidik dan para wartawan.

​Dalam penghakimannya, Saylor memberi tumpuan utama terhadap kesan buruk dasar visa baharu tersebut kepada komuniti pelajar antarabangsa di AS.

​Beliau menegaskan DHS secara terang-terangan cuba menghalang atau mematahkan semangat pelajar asing untuk menimba ilmu di negara itu, sedangkan Kongres sendiri sebelum ini menggubal dasar bagi menggalakkan peluang pendidikan antarabangsa.

​Menurut Saylor, peraturan tersebut bakal menghalang pelajar asing daripada menjalani tempoh pengajian lanjutan seperti program doktor falsafah (PhD), menyekat peluang memperoleh ijazah bersama serta melarang mereka menukar bidang pengkhususan akademik.

​Di bawah cadangan peraturan yang dibatalkan itu, pemegang visa pelajar hanya dibenarkan berada di AS untuk tempoh maksimum empat tahun dan perlu memohon lanjutan selepas itu, berbeza dengan amalan sedia ada yang membenarkan mereka kekal sehingga tamat pengajian.

​Bagi wartawan asing pula, tempoh keberadaan mereka dihadkan kepada hanya 240 hari atau sekitar lapan bulan dengan pilihan memohon lanjutan bagi tempoh sama, berbanding kelonggaran sebelum ini yang membenarkan tempoh tinggal sehingga lima tahun.

​Sementara itu, wartawan dari China pula berdepan sekatan jauh lebih ketat di bawah cadangan tersebut apabila tempoh sah visa mereka dihadkan kepada hanya 90 hari berserta permohonan lanjutan untuk tempoh 90 hari berikutnya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini