Dua pemain muda perkuat Speedy Tigers

Dua pemain muda perkuat Speedy Tigers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan akan diperkuatkan dua pemain remaja bagi mengharungi cabaran Piala Sultan Azlan Shah 2026 yang membuka tirai kejohanan pada 20-28 November ini di Ipoh, Perak.

Seramai 20 pemain telah disenaraikan, termasuk dua pemain dari skuad remaja kebangsaan iaitu Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien dan Muhammad Adam Asyraf Johari yang beraksi di posisi penyerang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Najmi Razak berkata, skuad negara menyasarkan untuk mengekalkan momentum positif selepas muncul naib juara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Punjab, India

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemain supaya tidak terlalu dibuai kejayaan terdahulu kerana cabaran setiap kejohanan adalah berbeza.

“Peluang untuk menutup tahun 2026 dengan pencapaian positif menerusi kejohanan ini merupakan satu motivasi buat pasukan. Sudah tentu kami mahu memberikan yang terbaik kepada penyokong di tanah air.

“Apa yang lebih penting ialah memberikan tumpuan kepada satu perlawanan pada satu masa. Jika kita dapat mengekalkan disiplin, semangat berpasukan dan kualiti permainan, saya percaya kita mampu memberikan saingan sengit dan tidak mustahil menamatkan kejohanan di podium.

“Sepanjang tahun ini, pemain telah melalui pelbagai cabaran dan komitmen bersama pasukan kebangsaan. Kita mahu menjadikan Piala Sultan Azlan Shah sebagai pentas untuk membuktikan kemampuan pasukan serta mengekalkan momentum positif yang telah dibina,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Mengulas pula mengenai pemilihan dua pemain remaja, beliau memberitahu, peluang itu penting untuk memberikan pendedahan di peringkat senior agar mereka dapat berkembang dengan baik.

Jelasnya, ini semua untuk kepentingan skuad kebangsaan pada masa depan kerana pihaknya mahu pemain-pemain muda itu dapat belajar mengendalikan tekanan, intensiti latihan serta disiplin yang diperlukan di peringkat antarabangsa.

“Pendedahan seperti ini merupakan antara langkah untuk memastikan Malaysia mempunyai barisan pemain yang mampu meneruskan legasi Speedy Tigers,” ujarnya.

Skuad negara dijadualkan berkumpul di Ipoh pada 18 November dan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Kanada pada hari yang sama, manakala, senarai akhir 18 pemain yang akan didaftarkan untuk kejohanan bakal dimuktamadkan selepas perlawanan tersebut.

Speedy Tigers akan memulakan kempen menentang Korea Selatan pada 20 November, diikuti Kanada (21 November), Amerika Syarikat (23 November), Australia (24 November) dan Pakistan (26 November). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini