Harga minyak berpotensi susut sehingga AS$50 setong tahun depan - Utusan Malaysia

Harga minyak berpotensi susut sehingga AS$50 setong tahun depan

HARGA minyak mentah Brent berpotensi kekal dalam lingkungan AS$70 (RM289.91) hingga AS$75 (RM310.61) setong sekiranya laluan Selat Hormuz kekal stabil dan aktiviti eksport minyak global kembali pulih. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah dunia berisiko menyusut sehingga AS$50 (RM202.50) hingga AS$60 (RM243) setong pada suku keempat 2027 sekiranya negara pengeluar utama gagal mencapai kesepakatan mengawal pengeluaran, menurut BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions. 

Menurut firma penyelidikan itu, harga minyak Brent mencatatkan purata AS$67 (RM271.35) setong pada suku keempat 2027, susut hampir 40 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakala purata harga bagi keseluruhan tahun itu diunjur sebanyak AS$81 (RM328.05) setong.

“Pasaran minyak global dijangka beralih daripada keadaan bekalan terhad kepada lebihan bekalan mulai suku kedua 2027, susulan pemulihan pengeluaran dan eksport minyak Asia Barat apabila konflik AS-Iran dijangka reda.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, usaha Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) untuk menyokong harga minyak mungkin berdepan cabaran berikutan keupayaan pengurangan pengeluaran yang terhad dalam kalangan negara anggotanya, selain keputusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) meninggalkan kumpulan itu pada Mei 2026,” katanya. 

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 47 sen atau 0.49 peratus kepada AS$95.37 (RM390.30) setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS susut 23 sen atau 0.26 peratus kepada AS$88.33 (RM361.49) setong.

Semalam, minyak mentah Brent dibuka pada AS$95.35 (RM389.37) setong sebelum ditutup lebih rendah pada AS$94.96 (RM 387.77) setong.

Pasaran minyak mentah menyusut berikutan jangkaan lebihan bekalan selepas penghantaran dari Asia Barat melalui Selat Hormuz hampir pulih ke tahap sebelum perang, selain langkah Amerika Syarikat (AS) memudahkan pergerakan kargo bahan api antara pelabuhan domestiknya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, pasaran minyak turut ditutup lebih rendah pada Jumaat lalu apabila pelabur menilai petanda penurunan risiko geopolitik daripada konflik AS-Israel menentang Iran yang kini memasuki bulan kesembilan, selepas kedua-dua penanda aras masing-masing menjunam 16 peratus dan 13 peratus pada minggu sebelumnya.

“Tekanan penurunan harga turut didorong oleh keputusan Presiden AS, Donald Trump melanjutkan pengecualian Akta Jones selama 90 hari bagi membolehkan kapal berbendera asing mengangkut minyak serta bahan api seperti petrol dan diesel antara pelabuhan AS dengan lebih mudah.

Dalam pada itu, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dalam laporannya menjangkakan pasaran minyak dunia akan kembali mencatatkan lebihan bekalan pada suku keempat tahun ini berikutan eksport Asia Barat pulih lebih pantas berbanding permintaan global, meskipun serangan terhadap kapal dagang masih berterusan.

“Bekalan minyak diunjur mencecah purata 105 juta tong sehari pada suku keempat, iaitu 1.7 juta tong sehari lebih tinggi berbanding ramalan permintaan, sekali gus mengubah unjuran defisit bekalan yang dibuat sebelum ini.

“Sebanyak 71 juta tong daripada baki pelepasan rizab kecemasan negara anggota yang diikrarkan pada Mac lalu akan disediakan menjelang akhir Februari, termasuk 15 juta tong diesel bagi meredakan ketegangan pasaran,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini