JUBA: Sudan Selatan menangguhkan pilihan raya umum pertamanya daripada bulan Disember ini ke Februari tahun depan berikutan peningkatan keganasan, pergolakan politik serta proses pendaftaran pengundi yang perlahan.
Pilihan raya presiden dan perundangan yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 22 Disember depan itu sekali lagi berdepan kelewatan selepas ditangguhkan beberapa kali sebelum ini.
Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan, Ahon Malou Lueth, mengesahkan penjadualan semula tarikh berkenaan kepada agensi berita AFP, namun tidak memperincikan punca utama perubahan tersebut.
Jurucakap suruhanjaya berkenaan, Josephine Achiro kemudiannya memaklumkan lanjutan tarikh sehingga 11 Februari depan bertujuan memberi ruang kepada pelaksanaan proses tambahan termasuk pengagihan bahan pendaftaran serta pendidikan sivik kepada rakyat.
Beliau bagaimanapun menegaskan langkah itu bukanlah satu bentuk penangguhan, sebaliknya sekadar penyelarasan masa mengikut peruntukan Artikel 57 suruhanjaya terbabit yang memberi kuasa untuk mengubah jadual pilihan raya.
Keputusan terbaharu ini hadir di tengah-tengah ketegangan politik berterusan antara Presiden, Salva Kiir dan bekas timbalannya yang digulingkan, Riek Machar yang masih gagal meredakan pertikaian kuasa di negara berkenaan.
Sebagai negara termuda di dunia selepas mencapai kemerdekaan daripada Sudan pada tahun 2011, Sudan Selatan terjerumus ke dalam kancah perang saudara berdarah antara tentera penyokong Kiir dan Machar dari tahun 2013 hingga 2018 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 400,000 nyawa.
Satu perjanjian damai yang dimeterai pada tahun 2018 berjaya membentuk kerajaan perpaduan nasional dengan melantik Kiir sebagai presiden manakala Machar sebagai timbalannya bagi merintis laluan ke arah penganjuran pilihan raya pada tahun 2022.
Namun begitu, pilihan raya berkenaan terpaksa ditunda berulang kali berikutan kegagalan pentadbiran bersama itu melaksanakan hampir keseluruhan peruntukan utama yang termaktub dalam perjanjian damai tersebut.
Kelewatan berterusan ini terus mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa mengenai kestabilan jangka panjang serta masa depan proses peralihan demokrasi di negara Afrika Timur berkenaan.
Rakyat tempatan kini mengharapkan tarikh baharu pada Februari kelak dapat direalisasikan dengan lancar tanpa sebarang pertumpahan darah demi menjamin keamanan dan pembangunan semula negara mereka. -AFP








