Ab Rauf dijangka angkat sumpah Ketua Menteri Melaka pagi ini - Utusan Malaysia

Ab Rauf dijangka angkat sumpah Ketua Menteri Melaka pagi ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh, dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka, hari ini.

Majlis angkat sumpah dijadual berlangsung jam 11 pagi di Dewan Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, sekali gus membuka laluan kepada Ab Rauf untuk meneruskan kepemimpinannya sebagai Ketua Menteri bagi penggal kedua.

Gabungan BN dan PN memperoleh 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Melaka, sekali gus berupaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Memuatkan artikel berkaitan…

BN memenangi 21 kerusi manakala PN memperoleh tiga kerusi.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gabungan BN dan PN akan mencalonkan Ab Rauf untuk terus menerajui kerajaan negeri susulan kemenangan mereka pada PRN kali ini.

Ab Rauf mencatat kemenangan lebih selesa apabila berjaya mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara dengan majoriti 8,615 undi, berbanding hanya 364 undi pada PRN Melaka ke-15, pada 2021.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Yunazri Mustamiri, dalam pertandingan satu lawan satu di kerusi itu.

Pada PRN 2021, Ab Rauf memenangi kerusi Tanjung Bidara dalam persaingan tiga penjuru selepas memperoleh 3,559 undi, mengatasi calon PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mendapat 3,195 undi, manakala calon PH, Zainal Hassan memperoleh 489 undi.

Ab Rauf sebelum ini dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 31 Mac 2023 bagi menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang meletakkan jawatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini