SEPANG: RT Mega Gathering 3.0 (RTMG 3.0) berjaya memecahkan rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘Himpunan Terbesar Motosikal BMW RT’ apabila menghimpunkan 558 motosikal BMW RT di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini hari ini.
Pencapaian itu disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sekali gus mengatasi sasaran minimum 400 motosikal yang ditetapkan bagi percubaan mencipta rekod baharu itu.
Sijil pengiktirafan MBOR diserahkan pegawai MBOR, Megat Faris Hussien Megat Muzaffar Shah kepada Presiden Reise Tour Association Community Malaysia (RTAC), Ismail Hamat pada majlis makan malam, malam tadi.
Program anjuran Reise RTAC itu menghimpunkan penunggang motosikal BMW RT dari seluruh negara dan negara jiran, Singapura.
Daripada jumlah itu, 480 penunggang merupakan peserta dari Malaysia manakala 20 lagi dari Singapura, selain 219 pembonceng, menjadikan keseluruhan penyertaan seramai 719 orang.
Penganjuran kali ketiga itu bukan sekadar perhimpunan peminat motosikal berkuasa tinggi, sebaliknya menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim, semangat persaudaraan dan jaringan komuniti permotoran merentasi sempadan Malaysia dan Singapura.
Ia turut memberi penekanan terhadap budaya tunggangan berhemah, pematuhan undang-undang jalan raya, keselamatan penunggang serta tanggungjawab sosial komuniti permotoran terhadap masyarakat.
Sebagai persediaan menjelang RTMG 3.0, pihak penganjur melaksanakan tiga siri jelajah bagi menggalakkan penyertaan pemilik motosikal BMW RT dari seluruh negara melibatkan Road Tour ke Selatan di Muar, Johor dengan penyertaan 100 motosikal BMW RT, Road Tour ke Utara di Pulau Pinang melibatkan 120 motosikal serta Road Tour ke Timur di Kuala Terengganu yang menghimpunkan 140 motosikal. – UTUSAN











