PETALING JAYA: RichWorks menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penyedia program pementoran keusahawanan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terbesar di negara ini.
Pengiktirafan terbabit diberikan berdasarkan rekod seramai 4,302 usahawan yang dibimbing sejak 2021 sehingga Februari 2026, sekali gus membuktikan keberkesanan modul pembangunan yang dilaksanakan.
Pengerusi Eksekutif Richworks, Datuk Dr. Azizan Osman berkata, pencapaian itu bukan sekadar angka semata-mata, sebaliknya mencerminkan perubahan menyeluruh daripada segi pemikiran (mindset), kepimpinan dan strategi bisnes.
“Kejayaan ini lahir daripada tindakan konsisten para usahawan yang mengikuti bimbingan serta kesungguhan mereka untuk terus berkembang dalam persekitaran ekonomi yang mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai kesinambungan usaha memperkasakan ekonomi tempatan, RichWorks melancarkan program baharu dikenali sebagai ‘Potensi 2026: Kenali & Kuasai Potensi Diri, Wang dan Bisnes’ dijadual berlangsung bulan ini.
Inisiatif berkenaan dirangka khas bagi membantu usahawan mendepani tekanan kos operasi, isu aliran tunai serta perubahan pasaran yang pantas melalui pendekatan praktikal.
Antara fokus utama program berkenaan adalah pembangunan dalaman iaitu bagi memperkukuh ketahanan mental agar tidak mudah berputus asa selain strategi kewangan dalam mengurus wang serta perniagaan dengan lebih sistematik.
Di samping memikirkan tindakan praktikal yang merangkumi perubahan strategi bisnes yang relevan dengan ekonomi semasa. – UTUSAN










