CYBERJAYA: Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di sini mencatat sejarah apabila diiktiraf sebagai pemasangan sistem solar di atas bumbung masjid terbesar di negara ini oleh The Malaysia Book of Records (MBOR).
Lebih mengujakan, rekod itu juga diiktiraf sebagai pemasangan sistem solar masjid kedua terbesar di dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif XPERTS, Mohd. Faiz Mokhtar berkata, sistem solar itu diberikan secara percuma kepada masjid berkenaan yang menjalin kerjasama dengan XPERTS melalui anak syarikat, Green Xperts.
Katanya, menerusi pemasangan sistem solar berkenaan, ia dijangka dapat menjimatkan sekitar 20 hingga 40 peratus bil elektrik secara bulanan.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan usaha Green Xperts yang menawarkan pakej menarik bagi pemasangan solar di masjid dikenali sebagai program Anfaqa secara kerjasama dengan Yayasan Wiba Prima.
“Kami menawarkan inisiatif pemasangan solar secara percuma di masjid terpilih jika mematuhi keperluan. XPERTS sangat komited untuk membantu komuniti setempat menjimatkan kos tenaga, terutama ini adalah masjid kariah kami.
“Lokasi pejabat kami adalah di sini dan ramai pasukan kami bermastautin di sini termasuk saya sendiri,” katanya ketika Utusan Malaysia pada majlis perasmian Sistem Solar PV di masjid berkenaan di sini semalam.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd. Faizal Abdul Raji dan turut dihadiri Pengerusi Yayasan Wiba Prima, Datuk Dr. Kamilia Ibrahim.
Sistem solar yang dipasang di tingkat atas masjid itu terdiri daripada 862 modul PV solar, meliputi 2,277 meter persegi yang turut menjadi struktur bumbung dalam menyediakan kapasiti ruang ibadah tambahan kepada seramai 500 orang jemaah.
Pemasangan sistem solar yang mengambil masa selama empat bulan itu dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan sekitar RM17,000 sebulan bersamaan kira-kira RM4.5 juta sepanjang tempoh kontrak selama 21 tahun.
Mengulas lanjut, Mohd. Faiz berkata, XPERTS percaya bahawa tenaga solar bukan sekadar pilihan terbaik malah merupakan satu pelaburan bijak seiring dengan matlamat negara untuk mencapai penjimatan tenaga melalui tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40 peratus menjelang 2035.
“Kami akan memastikan setiap projek yang dilakukan bukan sahaja berteknologi dan berjaya, tetapi juga memberi manfaat jangka panjang yang mampan,” ujarnya. – UTUSAN










