El Nino kurangkan kelembapan, bukan tamat ancaman banjir

El Nino kurangkan kelembapan, bukan tamat ancaman banjir

Chung Jing Xiang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Fenomena El Nino kuat yang sedang melanda dijangka mengurangkan risiko kejadian banjir besar di Pantai Timur berikutan kekurangan sumber kelembapan yang menjadi antara faktor pembentukan hujan lebat di kawasan itu.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, keadaan Monsun Timur Laut (MTL) pada tahun ini juga dilihat lebih sederhana berbanding tahun-tahun sebelumnya, meskipun bermula lebih awal.

Menurutnya, keadaan itu antara lain dipengaruhi kelemahan angin timuran dari Lautan Pasifik akibat fenomena El Nino yang menyebabkan bekalan kelembapan ke Pantai Timur berkurangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika dilihat daripada keadaan semasa, El Nino memang mempunyai kaitan dengan cuaca yang lebih baik di Pantai Timur kerana sumber kelembapan utama kawasan ini ketika ini ialah luruan sejuk dan angin timuran dari Lautan Pasifik.

“Bagaimanapun, disebabkan El Nino, angin timuran menjadi lemah sekali gus mengurangkan bekalan kelembapan ke kawasan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Beliau berkata, amaran luruan sejuk kuat sebelum ini dikeluarkan susulan pembentukan sistem berkenaan yang dijangka memberi kesan kepada negara.

Namun, luruan sejuk itu hanya berjaya memasuki kawasan sekitar Vietnam tengah hingga selatan Thailand dan tidak sampai ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Jelasnya, keadaan tersebut turut menyumbang kepada cuaca yang lebih sederhana sepanjang MTL kali ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, persoalan sama ada Pantai Timur akan berdepan banjir besar atau sebaliknya masih sukar dipastikan kerana El Nino hanya mempengaruhi keadaan atmosfera secara keseluruhan dan bukan satu-satunya faktor yang menentukan taburan hujan.

Katanya, kejadian hujan lebat luar biasa masih boleh berlaku akibat gangguan atmosfera lain termasuk Ayunan Madden-Julian (MJO), luruan sejuk serta sistem lekukan tekanan rendah.

“Secara logiknya, apabila bekalan kelembapan berkurangan akibat El Nino, risiko untuk berlaku banjir besar di Pantai Timur juga dijangka menurun.

“Namun, kita perlu ingat El Nino hanya menyediakan keadaan latar belakang atmosfera, manakala hujan ekstrem masih boleh berlaku disebabkan gangguan cuaca lain yang lebih sukar diramal dengan tepat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu selesa dengan keadaan cuaca yang lebih sederhana ketika ini, sebaliknya terus berwaspada terhadap kemungkinan hujan lebat dan banjir sepanjang MTL. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini