KOTA BHARU: Jika dahulu deretan gerai jagung rebus di sepanjang jalan Kampung Penambang di sini sentiasa meriah dengan kehadiran pelanggan termasuk pelancong, kini suasana itu semakin hilang ditelan perubahan masa.
Daripada kira-kira 15 peniaga yang pernah menjadikan kawasan itu tumpuan pemburu jagung rebus dan mentah, kini hanya sekitar lima orang masih bertahan meneruskan perniagaan yang menjadi sumber rezeki sejak puluhan tahun lalu.
Lebih menyedihkan, tiada generasi baharu atau anak-anak yang berminat menyambung legasi perniagaan keluarga itu meskipun ada antara ibu bapa mereka sudah hampir empat dekad mencari rezeki dengan menjual jagung.
Perubahan suasana itu turut dikaitkan dengan projek pelebaran jalan bagi pembinaan jambatan baharu yang menghubungkan Kampung Palekbang, Tumpat dengan Penambang, sekali gus menyebabkan sebahagian peniaga menghentikan operasi sejak kira-kira dua tahun lalu.
Bagi peniaga yang masih bertahan, kenaikan harga jagung mentah, jumlah pelanggan yang semakin berkurangan serta hasil jualan tidak menentu menjadi cabaran untuk meneruskan perniagaan.
Peniaga, Che Hasmah Che Mat, 66, berkata, dia sudah 30 tahun menjual jagung rebus dan mentah di kawasan berkenaan, malah pekerjaan itu sudah sebati dengan kehidupannya meskipun anak-anaknya sudah berumah tangga dan bekerja.
Menurutnya, walaupun harga jagung mentah meningkat dengan ketara, dia tetap meneruskan perniagaan berkenaan kerana itulah sumber rezekinya selama ini.
“Sebelum ini, harga jagung mentah hanya RM40 untuk 30 batang, tetapi sekarang RM120 untuk 80 batang dan peniaga terpaksa akur dengan situasi ekonomi sekarang.
“Jagung yang direbus mengambil masa lebih kurang dua jam dan dijual dengan harga RM5 untuk dua batang atau bergantung kepada kecil dan besar,” katanya ketika ditemui di sini.
Che Hasmah memberitahu, selagi masih berkemampuan, dia akan terus menjual jagung rebus dan mentah yang diperoleh daripada pembekal di kawasan berkenaan, termasuk dari Perak atau Thailand sekiranya bekalan tiada di Kelantan.

Bagaimanapun, hasil jualannya kini tidak menentu dengan purata sekitar RM40 sehari berbanding sebelum pandemik Covid-19 apabila perniagaan jagung di kawasan itu lebih rancak.
Seorang lagi peniaga, Rafiah Mohamad, 53, yang sudah lebih 20 tahun berniaga jagung rebus di tepi jalan berhampiran rumahnya, turut mengakui kemeriahan kawasan itu semakin pudar.
Katanya, sebelum pandemik Covid-19, kawasan berkenaan dipenuhi peniaga yang menjual jagung rebus dan mentah, selain kacang rebus serta pelbagai makanan kering sebagai jualan tambahan.
“Saya akui sangat teruja ketika berniaga jagung rebus suatu ketika dahulu kerana ramai pelanggan dan pelancong singgah membeli termasuk pada hari biasa.
“Sekarang kebanyakan pelanggan hanya datang membeli jagung pada hari minggu atau cuti umum sahaja. Nak dapatkan RM100 sehari pun susah dan purata jualan sekarang juga tidak menentu iaitu lebih kurang RM30 hingga RM40 sehari,” katanya.
Menurutnya, selagi projek pelebaran jalan belum siap, peniaga terpaksa beranjak ke belakang bagi mengurangkan gangguan terhadap aliran trafik.
Namun, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berniaga bagi membantu suami yang bekerja sebagai tukang rumah, selain menanggung dua anak berusia 16 dan 18 tahun.
“Memang jualan tidak semeriah dahulu dan untuk menampung pendapatan, peniaga di sini turut menjual kacang rebus dan pisang.
“Dengan keadaan ekonomi sekarang, saya akan terus menjual jagung rebus kerana terpaksa menanggung dua lagi anak berusia 16 dan 18 tahun,” katanya.
Sementara itu, Rakiah Ismail, 68, yang sudah lebih 30 tahun menjual jagung rebus berhampiran rumahnya, turut merasai perubahan tersebut apabila harga jagung mentah meningkat, manakala pelanggan semakin berkurangan berbanding dahulu.
Bagi pelanggan, Wan Hasikin Wan Hassan, 55, perubahan itu cukup ketara apabila semakin kurang peniaga menjual jagung sejak projek pelebaran jalan dilaksanakan di kampung berkenaan.
Katanya, ada antara peniaga hanya membuka gerai pada hujung minggu kerana ketika itu lebih ramai pelanggan datang membeli.
“Saya harap selepas projek melebarkan jalan siap nanti, pihak berkenaan wajar menyediakan gerai yang selesa untuk peniaga seperti sebelum ini.
“Sepanjang jalan kawasan ini merupakan laluan utama penduduk kampung untuk ke Kota Bharu dan Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB). Ramai yang singgah membeli jagung rebus ketika melalui kawasan ini,” katanya. – UTUSAN











