Sidang DUN Perlis: Tanaman jagung bijian akan diperluas menjelang 2025 - Utusan Malaysia

Sidang DUN Perlis: Tanaman jagung bijian akan diperluas menjelang 2025

RAZALI SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Pertanian negeri mensasarkan pembangunan kawasan seluas 500 hektar bagi tanaman jagung bijian menjelang tahun 2025 yang mampu menghasilkan sebanyak 4,500 metrik tan hasil buat negara.

Sehingga kini, keluasan fizikal kawasan penanaman jagung bijian di Perlis adalah sekitar 408 hektar melibatkan empat syarikat, dua agensi dan enam usahawan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad berkata, berdasarkan keluasan fizikal kawasan sedia ada, sekitar 190.8 hektar telah bertanam dan mengeluarkan hasil sebanyak 183.8 metrik tan sejak tahun 2022.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Perlis telah melaksanakan penanaman jagung bijian sejak tahun 2017 di kawasan Lembah Chuping dan Jabatan Pertanian menerima peruntukan sebanyak RM0.45 juta di bawah Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan pada tahun ini.

“Manakala sebanyak RM0.35 juta di bawah Program Pembangunan Makanan Ternakan merangkumi pemberian insentif pembangunan infrastruktur projek, jentera dan peralatan pertanian serta bantuan input pertanian,” katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.

Razali berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan oleh Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji-PN) berhubung sejauh mana Perlis membantu negara mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan ternakan dari luar negara.

Mengulas lanjut, Razali berkata, selain itu, Projek Industri Makanan Ternakan juga akan diusahakan di tanah kerajaan negeri seluas tujuh hektar oleh Syarikat Eastern Agro & Farming Sdn Bhd di mana mereka akan membangunkan pusat pemprosesan bagi penghasilan makanan ternakan menggunakan campuran tanaman napier dan indigofera.

“Kerajaan negeri turut menerima beberapa permohonan daripada pihak Persatuan Penternakan Ruminan Negeri dan syarikat swasta bagi cadangan tanaman napier di atas tanah kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Razali berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) tidak menafikan usaha bagi memberi pendedahan kepada penternak untuk mula menanam rumput ternakan atau tumbuhan kekacang dengan protein tinggi ini adalah memerlukan tanah yang luas bagi mencukupkan keperluan harian makanan ternakan.

Katanya, salah satu usaha yang boleh diketengahkan adalah dengan menggunakan tanah terbiar untuk tujuan penanaman makanan ternakan bagi mengoptimumkan penggunaan sumber tanah di Perlis.

“Manakala, JPV dalam tindakan mempergiatkan usaha untuk mengenalpasti jenis dan mendalami kualiti sumber bekalan makanan ternakan tempatan seperti rumput dan tumbuhan kekacang yang boleh digunakan sebagai sumber alternatif bekalan makanan ternakan dalam menggantikan bahan yang diimport,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya