TMPs: Penyelenggaraan dan naik taraf lokasi pelancongan diberi perhatian - Utusan Malaysia

TMPs: Penyelenggaraan dan naik taraf lokasi pelancongan diberi perhatian

WAN BADARIAH WAN SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Proses penyelenggaraan dan naik taraf lokasi-lokasi pelancongan di Perlis sentiasa dilaksanakan menerusi peruntukan yang diterima sama ada daripada kerajaan Persekutuan mahu pun kerajaan negeri.

Langkah ini dibuat adalah bertujuan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengunjung khususnya menjelang Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, bilangan projek berkaitan pelancongan yang dijalankan pada tahun ini di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) dan Projek Pembangunan adalah sebanyak 28 buah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM9.89 juta.

“Dalam hal ini, semua pihak perlu berganding bahu dalam memastikan kejayaan pelaksanaan TMPs yang sememangnya memerlukan komitmen daripada semua pihak,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.

Wan Badariah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan oleh Datin Marzita Mansor (Sena-PN) berhubung sejauh manakah kerajaan negeri melakukan penambahbaikan ke atas lokasi-lokasi pelancongan di Perlis.

Menerusi penganjuran TMPs pada kali ini, kerajaan negeri mensasarkan kehadiran seramai 3.5 juta pelancong ke Perlis yang menawarkan pelbagai destinasi percutian menarik.

Mengulas lanjut, Wan Badariah berkata, buat masa ini, kerajaan negeri juga sedang membuat persiapan sebaiknya dalam memastikan penganjuran TMPs dapat mencapai objektif dikehendaki.

“TMPs bukanlah tanggungjawab satu bahagian atau jabatan sahaja, tetapi merupakan tanggungjawab rakyat Perlis secara keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Badariah berkata, perjalanan penganjuran TMPs sentiasa dibincangkan dan dibuat keputusan menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) malah terdapat juga beberapa jawatankuasa dibentuk bagi memantau pelaksanaan program berkenaan.

Katanya, jawatankuasa kecil yang ditubuhkan juga turut melibatkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, jabatan, agensi kerajaan dan pihak swasta.

“Keperluan bagi penambahbaikan keindahan ke atas lokasi-lokasi pelancongan yang ada di Perlis ini dibincangkan dengan lebih terperinci dalam jawatankuasa yang telah ditubuhkan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya