PETALING JAYA: Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Daniesh Amirruddin tidak mahu tekanan dan perhatian yang diterimanya menjadi penghalang, sebaliknya menjadikannya sebagai motivasi untuk terus memperbaiki mutu permainan.
Pemain berusia 20 tahun itu mengakui bertuah kerana berpeluang berguru dengan barisan pemain senior berpengalaman yang sentiasa sedia berkongsi ilmu serta membimbingnya dalam usaha mengembangkan potensi.
Menurutnya, sokongan rakan sepasukan khususnya barisan penyerang banyak membantunya meningkatkan keyakinan ketika menjalani latihan.
“Tekanan sentiasa ada tetapi saya mengambil semua itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berdisiplin, bekerja keras dan terus maju ke depan.
“Pemain penyerang dalam pasukan juga banyak membantu saya ketika latihan, termasuk Messi (Arif Aiman Hanapi) yang berpesan supaya tidak takut melakukan kesilapan, kekal fokus, yakin dengan kemampuan sendiri dan tidak bimbang kehilangan bola,” katanya.
Sementara itu, pengendali JDT, Xisco Munoz percaya Daniesh memiliki masa depan cerah dan berpotensi muncul sebagai antara pemain yang mampu mencipta nama dalam arena bola sepak negara.
Munoz berkata, keistimewaan pemain muda itu bukan hanya terletak pada kemampuan teknikal, malah sikap profesional, disiplin serta kesungguhannya untuk terus belajar dan memperbaiki kelemahan.
“Saya memang suka Daniesh kerana dia bekerja keras setiap hari, mendengar arahan dan sentiasa berusaha memperbaiki diri, selain mempunyai personaliti yang baik.
“Dia adalah seorang lagi pemain muda yang datang ke JDT untuk berkembang dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantunya kerana ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran,” katanya. – UTUSAN











