LONDON: Lewis Hamilton terus berdepan kritikan apabila bekas pelumba Formula Satu (F1), Ralf Schumacher mendakwa juara dunia tujuh kali itu masih belum cukup pantas untuk mengatasi rakan sepasukan, Charles Leclerc bagi melayakkan dirinya diberi keutamaan sebagai pelumba No.1 Ferrari.
Schumacher berkata, Hamilton perlu membuktikan kelebihan ketara berbanding Leclerc sekiranya mahu menerima layanan sama seperti abangnya, Michael Schumacher ketika mengemudi Ferrari suatu ketika dahulu.
“Masalahnya, dia sememangnya tidak cukup pantas jika dibandingkan dengan Leclerc.
“Jika dia jelas lebih baik daripada rakan sepasukannya seperti abang saya dahulu, perdebatan ini tidak akan timbul, sebaliknya dia sendiri yang mencetuskan keadaan ini,” katanya kepada Sky Sports Germany.
Menurut Schumacher, Hamilton perlu konsisten menamatkan perlumbaan di depan Leclerc dan membuktikan keupayaannya menerusi kemenangan, bukannya sekadar bergantung kepada reputasi sebagai juara dunia.
“Dia perlu sentiasa memastikan dirinya berada di depan dan lebih pantas setengah saat atau sekurang-kurangnya satu saat berbanding Leclerc.
“Menang setiap perlumbaan atau sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan di hadapannya, semudah itu,” katanya.
Kritikan terbaharu itu menyusul selepas ketegangan antara Hamilton dan Leclerc susulan insiden pertembungan pada pusingan pertama Grand Prix (GP) Mexico City yang turut mencetuskan perbezaan pendapat mengenai peluang kemenangan Ferrari.
Hamilton sebelum ini menyalahkan pendekatan Leclerc yang disifatkannya terlalu berisiko, sekali gus memberi ruang kepada pencabar, Max Verstappen untuk meraih kemenangan, sebelum isu berkenaan dibincangkan bersama prinsipal pasukan, Fred Vasseur menjelang GP Sao Paulo.
Schumacher sebelum ini turut mengkritik tindakan Hamilton yang mempertikaikan rakan sepasukan menerusi komunikasi radio, malah menyamakan gaya percakapannya dengan gangster terkenal Amerika Syarikat, Al Capone.
Bekas pelumba Jerman itu berpendapat Hamilton tidak sepatutnya menuntut tindakan penalti terhadap rakan sepasukan melalui radio pasukan, selain memberi amaran bahawa sesuatu perlu diubah segera dalam pengurusan hubungan kedua-dua pelumba Ferrari. – AGENSI











