Gangguan penerbangan bukti sistem kawalan udara AS uzur

Gangguan penerbangan bukti sistem kawalan udara AS uzur

PENUMPANG mengambil bagasi di Terminal B Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando ketika semua penerbangan di seluruh negara dihentikan sementara kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Gangguan komunikasi yang menyebabkan ribuan penerbangan di Amerika Syarikat (AS) dihentikan selama beberapa jam mendorong pentadbiran Donald Trump meningkatkan permohonan peruntukan bagi menaik taraf sistem kawalan trafik udara kepada AS$50 bilion (RM204 bilion).

Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, menyalahkan Kongres kerana gagal menyediakan peruntukan bagi membangunkan sistem baharu yang menurutnya mampu mengelakkan gangguan seumpama itu.

Beliau dan Rumah Putih sebelum ini mendesak Kongres meluluskan dana sebanyak AS$30.1 bilion (RM122.5 bilion) bagi menaik taraf lapangan terbang serta infrastruktur kawalan trafik udara negara yang semakin uzur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini satu kecemasan. Apakah perkara yang lebih penting daripada memastikan sistem kawalan trafik udara berfungsi dengan baik?” kata Duffy.

Gangguan itu menjejaskan pusat kawalan trafik udara Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) yang menguruskan pergerakan pesawat antara lapangan terbang. 

Duffy berkata, suis dan penghala rangkaian terlebih muatan data sehingga menyebabkan sistem tergendala akibat penggunaan perkakasan lama.

Jawatankuasa Perdagangan Senat yang diterajui Republikan berkata, insiden itu menunjukkan keperluan untuk mengutamakan usaha memodenkan pusat kawalan berkenaan berbanding projek lain. Kongres sebelum ini meluluskan peruntukan AS$1.9 bilion (RM7.76 bilion) bagi menggantikan pusat kawalan yang usang.

Sementara itu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Markwayne Mullin menolak spekulasi gangguan itu berpunca daripada serangan siber atau mempunyai kaitan dengan gangguan Microsoft yang menjejaskan perkhidmatan di seluruh dunia.

Beliau berkata, agensi keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang AS masih menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca insiden itu, namun setakat ini tiada bukti serangan siber ditemukan.

Ruang udara AS dibuka semula pada pukul 8.15 malam waktu tempatan selepas arahan menghentikan sementara penerbangan ditarik balik. 

Ruang udara AS yang antara paling kompleks di dunia itu berdepan beberapa insiden sejak kebelakangan ini sehingga mengganggu operasi penerbangan dan menimbulkan risiko keselamatan. 

Pada Januari 2025, perlanggaran di udara berhampiran Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan Washington mengorbankan 67 nyawa.- AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini