PETALING JAYA: Mayat sepasang suami isteri ditemukan di rumah mereka di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Mohd Yusof berkata, pemeriksaan awal di lokasi mendapati mayat kedua-duanya yang berusia dalam lingkungan 30-an ditemukan di dua ruang berasingan di tingkat atas rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang petunjuk jelas yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah. Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Naazron berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat dan siasatan lanjut.
Beliau turut meminta orang ramai menghormati perasaan serta privasi keluarga mangsa yang sedang melalui saat sukar berikutan kejadian itu. – UTUSAN











