KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan mengubah pendirian semata-mata kerana terdapat desakan supaya dasar negara adalah berteraskan dominasi kaum tertentu.
Jelas Perdana Menteri, terdapat naratif iaitu sekiranya beliau mahu terus bertahan sebagai pemimpin, dasar negara mestilah disesuaikan dan berteraskan dominasi Melayu.
“Kerajaan hari ini walaupun ada tekanan-tekanan hendak ubah dasar negara kita, tidak siapa pun pertikai kedudukan majoriti.
“Naratif sekarang adalah kalau pergi mana-mana, orang kata Anwar perlu ubah, polisi mesti didominasi kaum Melayu. Kalau tidak kamu tidak akan bertahan.
“Saya mahu kekal sebagai pemimpin Malaysia yang cintakan negara. Saya mahu pertahankan prinsip-prinsip negara kita, Perlembagaan kita.
“Tidak ada siapa yang harus pertikai kedudukan bahasa Melayu, agama Islam, hak semua orang Melayu. Tetapi kita mesti ingat, untuk negara ini selamat, kita mesti jamin keadilan, kejayaan, kebahagiaan semua kaum, setiap rakyat di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Sambutan Hari Deepavali Peringkat Kebangsaan 2026 di Little India Brickfields di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Islam sebagai agama Persekutuan serta hak orang Melayu serta menjamin keadilan dan kebahagiaan semua kaum di negara ini.
Anwar berkata, prinsip Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan bagi memastikan negara terus aman serta hak semua rakyat Malaysia terpelihara
Menurutnya, negara mempunyai pelbagai kekayaan yang perlu dinikmati setiap rakyat tanpa mengira kaum.
“Ada orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dia berjaya tetapi ada juga yang miskin. Tanggungjawab kita dalam negara ini adalah angkat keupayaan semua,” ujarnya. – UTUSAN











