Air panas resipi ‘rahsia’ roti buat sendiri - Utusan Malaysia

Air panas resipi ‘rahsia’ roti buat sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMUANYA sedap? Kalau baca ulasan dalam media sosial, rata-rata pelanggan berpuas hati dengan hidangan yang mereka jamah di kafe ini.

Maklum balas mereka membuatkan saya teruja untuk menjamu selera di Kedai Kopi Otai ketika bercuti ke Desaru, Johor, baru-baru ini. Terletak di deretan rumah kedai di Bandar Penawar, dekorasi kopitiam memudahkan saya untuk mengenal pasti kafe ini dari jauh, nampak berbeza dengan lot-lot kedai lain.

Melangkah masuk ke dalam, ia mengimbau pada kedai kopi dulu-dulu dengan hiasan barang-barang antik seperti basikal tua, radio kayu, teko klasik Cina, mangkuk tingkat dan talam. Sesuai sangatlah dengan nama yang diberikan kepada kafe ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya dan keluarga pesan laksa Johor, nasi goreng daging dan kacang pool. Kesemua menu ini adalah pilihan utama pelanggan selain laksa nyonya dan mi goreng.

Rasanya? Memang sama seperti dalam komen-komen di media sosial – sedap dan tidak mengecewakan kami yang datang dari jauh.

Namun, apa yang membekas dalam ingatan saya sampai hari ini adalah hidangan kacang pool yang dicicah dengan daging cincang dan kuah kacang. Meskipun pernah beberapa kali menikmati kacang pool di tempat lain tapi di Kedai Kopi Otai, rasa rotinya lagi ‘padu!’

Meskipun tebal dan garing di luar, di bahagian dalamnya masih lembut. Tidak keterlaluan kalau saya cakap, di kafe atau kedai makan lain susah hendak dapat rasa roti macam ini.

Sempat saya bertanya kepada pemilik kafe, Nadiah Sharif tentang roti yang dihidangkan. Rupa-rupanya roti di kedai kafe itu dibuat sendiri.

“Kita olah sendiri resipi, tak pakai pengawet sebab nak ia segar.

“Tapi kena buat kerap supaya bekalan sentiasa ada untuk pelanggan,” katanya yang mengusahakan kafe berkenaan sejak 10 tahun lalu,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Nadiah mungkin bertuah kerana ahli keluarganya sendiri memang ada yang mengusahakan kedai roti di Segamat. Mereka inilah yang membantunya dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan roti istimewa sedemikian.

Daripada R&D tersebut maka terciptalah satu resipi ‘rahsia’ yang membuatkan roti di Kedai Kopi Otai sangat sedap. Rahsianya adalah Nadiah menggunakan air panas yang mampu menghasilkan tekstur roti diinginkan iaitu lembut, garing dan tebal.

Kebiasaannya kedai atau kilang roti menggunakan air sejuk atau ais.

“Tapi lecehlah sikit sebab kita tak boleh sebarangan tukar bahan-bahan macam yis, tepung sebab ia boleh jejas kualiti.

“Contohnya, kalau kita tukar bahan, roti macam tak naik atau tak jadi. Peratusan gluten pun kena tengok juga,” ujarnya.

Untuk nasi goreng daging pula, ia merupakan resipi turun-temurun nenek dan ibunya yang berasal dari Pontian. Anak-anak saya yang gemar nasi goreng daging pun beritahu sedap, macam masakan di rumah!

Bagi minuman, kopi otai atau kopi cham antara kegemaran pelanggan. Biji kopi tempatan digunakan bagi membangkitkan kepekatan dan rasa berlemak.

Nadiah memberitahu, kebanyakan pelanggannya yang datang pada hari-hari biasa merupakan penduduk tempatan dan mereka yang bekerja di kawasan sekitar. Pada hujung minggu pula kafe tersebut dipenuhi pelancong termasuk dari Singapura.

Kedai Kopi Otai beroperasi setiap hari kecuali Khamis dari pukul 8 pagi hingga 6 petang. Yang berkunjung ke Desaru jangan lupa singgah kafe ini! – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini