DAMSYIK: Syria mengesahkan kes ketiga polio di Mayadin, wilayah Deir Ezzor di timur negara itu, sekali gus meningkatkan usaha vaksinasi dan pemantauan bagi membendung penularan penyakit berkenaan.
Kementerian Kesihatan Syria berkata, vaksinasi menjadi keutamaan ketika ini dan menggesa ibu bapa memastikan anak-anak menerima semua dos imunisasi rutin serta dos tambahan sepanjang kempen vaksinasi, termasuk mereka yang pernah menerima vaksin sebelum ini.
Pihak berkuasa kesihatan turut mempergiat pemantauan bagi mengesan kemungkinan jangkitan, selain menyiasat kes yang disyaki serta memantau individu yang mungkin terdedah kepada virus berkenaan.
Ibu bapa juga dinasihatkan segera membawa anak-anak mendapatkan rawatan sekiranya mengalami kelemahan secara tiba-tiba pada tangan atau kaki, atau hilang keupayaan untuk berjalan.
Kes terbaharu itu susulan pengesahan dua kes polio di Mayadin yang diumumkan pada sidang media minggu lalu.
Sidang media itu turut dihadiri wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Pengarah Program Imunisasi Kebangsaan kementerian itu, Turki Al-Daher berkata, pihaknya sedang memperkukuh program vaksinasi rutin, meningkatkan pemantauan serta memperluas kempen kesedaran awam bagi mencegah penularan jangkitan.
Polio ialah penyakit berjangkit yang disebabkan virus dan kebanyakannya menyerang kanak-kanak kecil, malah boleh menyebabkan kelumpuhan kekal.
Vaksinasi merupakan langkah paling berkesan untuk mencegah jangkitan penyakit itu.- AGENSI











