Kapal persiaran bawa 130 penumpang terbalik di Sungai Mississippi

Kapal persiaran bawa 130 penumpang terbalik di Sungai Mississippi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW ORLEANS: Sebuah kapal persiaran sungai yang membawa kira-kira 130 penumpang terbalik selepas dirempuh kapal tangki ketika berlabuh di New Orleans semalam, menyebabkan sebahagian badan kapal itu tenggelam di Sungai Mississippi.

Timbalan Gabenor Louisiana, Billy Nungesser berkata, sekurang-kurangnya 12 individu berjaya diselamatkan dari sungai, namun beliau belum memperoleh maklumat lengkap mengenai operasi menyelamat yang dijalankan.

Rakaman televisyen menunjukkan kapal persiaran American Heritage kendalian American Cruise Lines itu senget sebelum terbalik mengiring di kawasan sungai cetek.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beberapa penumpang dilihat berada di atas dek ketika kapal itu mula terbalik.

American Cruise Lines dalam satu kenyataan mengesahkan kapal berkenaan terbabit dalam perlanggaran ketika berlabuh di New Orleans.

“Penumpang dan kru sudah dipindahkan. Kami amat bimbang dengan keselamatan semua yang terbabit,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan tidak mendedahkan keadaan penumpang dan kru selepas kejadian.

Sungai Mississippi di kawasan kejadian ditutup kepada semua pergerakan kapal bagi membolehkan operasi menyelamat dijalankan.

Punca kapal tangki Atlantic Asphalt merempuh kapal persiaran itu masih belum diketahui. American Heritage dilaporkan baru berlabuh kira-kira dua jam sebelum perlanggaran berlaku.

Pasukan bomba, polis, pihak berkuasa pelabuhan, Pengawal Pantai dan petugas perubatan kecemasan dikerahkan ke lokasi kejadian.

Pihak berkuasa pelabuhan dalam kenyataan yang dipetik media tempatan berkata, jumlah mangsa yang cedera masih belum dapat dipastikan.

Sementara itu, Ahli Kongres Louisiana yang bakal dilantik sebagai senator, Julia Letlow, berharap operasi menyelamat berjalan lancar serta semua penumpang yang terjejas berada dalam keadaan selamat.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada anggota penyelamat yang bertugas di sekitar Pelabuhan New Orleans.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini