GEORGE TOWN : Persinggahan sulung kapal persiaran mewah, Discovery Princess ke Terminal Kapal Persiaran Swettenham (SPCT) baru-baru ini membawa suntikan ekonomi segera yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta untuk Pulau Pinang.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, ketibaan kapal kendalian Princess Cruises yang membawa 3,837 penumpang dan anak kapal itu juga memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelayaran antarabangsa.
Pada masa yang sama katanya, ketibaan kapal tersebut membuktikan bahawa keyakinan berterusan syarikat pelayaran antarabangsa terhadap daya tarikan Pulau Pinang yang kaya dengan budaya, sejarah dan warisan dunia.
“Dengan menggunakan anggaran konservatif sebanyak 100 dolar AS (Amerika Syarikat) perbelanjaan langsung bagi setiap pelawat, maka, persinggahan itu sahaja boleh menghasilkan kira-kira 383,700 dolar AS atau sekitar RM1.6 juta wang yang terus mengalir kepada ekonomi tempatan.
“Ia nyata memberi manfaat kepada pelbagai sektor termasuk pengangkutan, perhotelan, makanan dan minuman, runcit serta pengusaha pelancongan tempatan,” katanya di sini, hari ini.
Discovery Princess antara kapal terbesar dalam armada Princess Cruises dan ketibaannya dijangka membuka laluan kepada lebih banyak persinggahan berkala di Pulau Pinang pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Soon Hin berkata, pihaknya juga komited untuk memposisikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelayaran mesra, berdaya saing dan lestari dengan memperkukuh kerjasama bersama agensi pelancongan, syarikat pelayaran dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
“Kami sedang melaksanakan pelbagai penambahbaikan termasuk mempertingkat kemudahan terminal, memperkemas proses ketibaan penumpang serta memperkayakan pengalaman di darat supaya lebih memuaskan,” ujarnya.-UTUSAN










