KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan warga Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan pecah amanah melibatkan pemindahan 500,000 unit saham, empat tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Poh Po Lian, 68, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan secara tidak jujur melepaskan harta yang diamanahkan oleh Tan Sri Ta Kin Yan.
Beliau didakwa memindahkan 500,000 unit saham milik syarikat Victoria Island Club Berhad kepada Jennifer Kok Sau Keng tanpa persetujuan daripada enam waris.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, di sini, pada 31 Julai 2022.
Pendakwaan dikemukakan mengikut 406 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin mencadangkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan dua orang penjamin yang mana salah seorangnya hendaklah warganegara Malaysia.
Turut dipohon agar Po Lian dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
“Kami tidak berhasrat untuk menahan pasport tertuduh memandangkan tertuduh merupakan warganegara Singapura dan sudah pasti pasport itu sangat penting untuk tertuduh berulang-alik.
“Disebabkan faktor tersebut juga jumlah RM1 juta itu dicadangkan,” katanya.
Namun peguam, Datuk Jerald Gomez yang mewakili Po Lian memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai risiko melarikan diri selain memiliki pas di bawah program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
“Beliau merupakan seorang ahli perniagaan yang telah berada di Malaysia selama lebih 30 tahun tanpa sebarang masalah. Status program MM2H membuktikan beliau tidak berisiko melarikan diri.
“Selain itu, anak guam saya juga memiliki 54 buah syarikat di negara ini selain aset hartanah di lokasi-lokasi utama seperti Pavilion Bukit Bintang dan Pulau Pinang,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000 dengan dua penjamin warganegara beserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan. – UTUSAN










