BAGA: Penagih dadah adalah mangsa sebuah sistem - Ariff Zulkarnain - Utusan Malaysia

BAGA: Penagih dadah adalah mangsa sebuah sistem – Ariff Zulkarnain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKITAR seminggu Baga menemui penonton di panggung, ramai pengkritik dan peminat filem menobatkannya sebagai antara naskhah tempatan terbaik pada tahun ini. Merupakan filem pertama arahan Ariff Zulkarnain, Baga diambil dari loghat Terengganu bermaksud gelisah dan paranoid menyim­pulkan sistem yang meng­himpit masyarakat dan isu penagihan dadah.

Naskhah yang cukup penting tentang isu marginal bukanlah selalu popular di panggung, Jawablah Ariff Zulkarnain!

Isu-isu begini bukanlah sesuatu yang kita selalu lihat di panggung, tidak ramai yang berani lakukan kerana gusar dengan pulangan, macam mana awak yakinkan pelabur?

Memuatkan artikel berkaitan…

Tak senang, susah juga. Saya tidak pernah cakap dekat mana-mana media sebelum ini, tapi pernah ada satu pelabur dari Singapura yang nak bagi dana untuk buat filem Baga ini. Tapi bila saya tengok syarat-syaratnya, filem Baga ini akan menjadi milik mereka sepenuhnya selepas siap. Saya berbincang dengan rakan kongsi saya di produksi Indigo, Syafiq Yusof, dan kami fikir kami hendak filem ini jadi milik kami sebab ia ibarat surat cinta kepada Terengganu. Jadi, kami putuskan untuk ‘tong-tong’, Syafiq Yusof, Tan Teck Zee, dan rakan lain sama-sama melabur untuk naskhah ini.

Maksudnya studio-studio besar takut ambil naskhah sebegini?

Sudah tentu susah sebab studio-studio biasanya tidak berminat dengan filem sebegini yang banyak ‘red flag’. Ada pasal penagih dadah, ada pasal perempuan mengandung anak luar nikah. Tapi saya percaya anak muda sekarang lebih terbuka. Mereka hendak tonton filem yang bukan sekadar hiburan tapi ada pengisian.
Filem ini juga memaparkan unsur tradisi dan satu kenyataan tentang pemodenan yang tidak seiring dengan manusia. Ada manusia yang sudah ‘ditinggalkan’ oleh pemodenan tapi mereka masih tak mengaku yang mereka tertinggal. Itu yang saya cuba sampaikan menerusi watak-watak dalam filem ini.

Sebelum ini kecoh filem tak laris sebab katanya pelakon tak popular, Baga tampilkan wajah baharu sangat berbakat walau tidak popular. Itu pilihan siapa?

Ya, Idham Maulana dan Amirah Razak ialah pelakon yang saya nampak bakat mereka melalui teater. Saya percaya mereka perlukan platform. Saya pun mahu dikenali sebagai pengarah yang cuba mengangkat bakat-bakat baharu. Kita perlukan pelapis. Cabarannya adalah untuk menarik orang ke panggung dengan pelakon baharu, tapi saya mahu orang tengok Baga sebagai filem yang mempunyai rasa realism, di mana orang tak kenal mereka sebagai artis, tapi orang tahu itu adalah watak tersebut.

Ada 16 babak dipotong, sebagai pembikin ada rasa terkilan dengan Lembaga Penapisan Filem (LPF)?

Sebagai pengarah, pada mulanya memang ada rasa terkilan. Tapi lama-kelamaan saya belajar ada hikmah di sebaliknya Bila saya cuba melayan komen-komen LPF itu, banyak idea lain yang timbul dalam proses itu.
Kadang-kadang babak sebegini boleh disampaikan melalui metafora, tak perlu tunjuk secara jelas. Kami sudah pun berjumpa dengan Pengerusi LPF sendiri. Daripada cadangan asal 18 tahun ke atas dengan 16 potongan, mereka beri kelonggaran menjadi klasifikasi 16 tahun ke atas dengan hanya enam potongan sahaja. Selepas setahun turun naik, ini khabar gembira buat kami.

Berapa peratus kisah benar daripada orang sekeliling awak?

Ini berdasarkan pemerhatian sepanjang membesar di Terengganu. Saya tidak mahu sebut nama sesiapa sebab itu aib. Bagi saya, penagih dadah ini bukan penjenayah, tapi mangsa keadaan atau sistem. Boleh dikatakan hampir keseluruhan cerita ini berkisar tentang pengalaman saya dengan orang yang saya kenal di sekeliling saya. Penagih dadah adalah mangsa sebuah sistem yang awalnya suka-suka kemudian melekat.

Baga akan dibawa ke mana?

Filem Baga sudah pun ditayangkan di Malaysia International Film Festival (MIFFEST) sebagai filem pembuka. Seterusnya ia pergi ke Taiwan untuk Taiwan Film Festival. Baru minggu lepas, kami berada di Asian Film Festival Barcelona dan dicalonkan untuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, dan Lakon Layar Terbaik. Hujung bulan ini kami dipilih untuk ke Jogja (JAFF). Itu antara festival filem paling berprestij di Asia Tenggara dan kami sangat berbesar hati diberi peluang oleh JAFF. Ini satu anjakan buat semua pelakon dan kru.

Kenapa pilih lagu Suci Dalam Debu dan tutup filem dengan sajak T.Alias Taib?

Saya tidak pasti anak muda sekarang kenal tak dengan sasterawan T. Alias Taib. Beliau penulis novel dan buku puisi lama. Masa saya terkandas waktu Covid tahun 2020-2021, saya borong buku-buku penulis Terengganu. Saya dapati T. Alias Taib pada 1969 sudah pun menegur masyarakatnya melalui karya beliau. Ia sangat relevan dengan saya. Lagu itu,kalau diamati memang ada kena-mengena dengan kisah Jani dan Melur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini