Zidane akui benteng Perancis rapuh

Zidane akui benteng Perancis rapuh

NICOLO Cambiaghi (kiri) diasak pemain pertahanan Perancis, Malo Gusto ketika aksi Liga Negara-Negara UEFA di Stadium San Siro, Milan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILAN: Pengendali Perancis, Zinedine Zidane menyifatkan kekalahan 1-3 kepada Itali dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA sebagai sebahagian daripada proses membina pasukan yang mantap, meskipun tidak berpuas hati dengan kelemahan benteng pertahanan skuad Les Bleus.

Kekalahan di San Siro awal pagi tadi merupakan yang pertama buat Zidane sejak mengambil alih pasukan kebangsaan Perancis, sekali gus menyaksikan mereka jatuh ke tangga kedua Kumpulan A1.

Bekas pengendali Real Madrid itu mengakui pasukannya gagal mengekalkan momentum selepas menguasai sebahagian besar permainan pada babak pertama, sebelum Itali bangkit mendominasi aksi selepas rehat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami bermula dengan baik dan menguasai permainan ketika memiliki bola, tetapi pada babak kedua kami berdepan kesukaran, terutama dari segi pertahanan.

“Kami terus memberikan saingan dan bermain dengan baik ketika menguasai bola, khususnya pada babak pertama. Namun, pada babak kedua kami sedikit hilang arah, terutama selepas ketinggalan 1-2.

“Ini sebahagian daripada proses,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Perancis terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Michael Olise pada minit ke-10, namun Itali bangkit menerusi dua gol Francesco Pio Esposito pada minit ke-26 dan ke-75, selain jaringan Davide Frattesi pada minit ke-63.

Walaupun menguasai 60 peratus permainan dan melakukan 18 percubaan, Perancis gagal memanfaatkan peluang apabila dua percubaan mereka sekadar terkena tiang dan palang gol.

Zidane bagaimanapun tidak terlalu kecewa dengan kegagalan pasukannya menyempurnakan peluang, sebaliknya lebih bimbang terhadap kelemahan pemain ketika bertahan.

“Perkara paling penting adalah mencipta peluang. Percubaan yang terkena tiang dan palang memang memberi kesan, tetapi saya tidak kecewa.

“Saya hanya akan kecewa jika kami gagal menguasai permainan dengan baik. Apa yang perlu kami analisis adalah mengapa kami tidak berada pada tahap sepatutnya ketika tidak menguasai bola,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Perancis jatuh ke tangga kedua Kumpulan A1 di belakang Itali berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, dengan kedua-duanya berkongsi 10 mata.

Perancis akan menentang Turkiye di laman sendiri dalam aksi terakhir Kumpulan A1 pada Ahad ini, manakala Itali pula akan bertandang ke Belgium yang kini menghuni tangga ketiga, hanya satu mata di belakang dua pasukan teratas. – AGENSI

 

KAPSYEN

NICOLO Cambiaghi (kiri) diasak pemain pertahanan Perancis, Malo Gusto ketika aksi Liga Negara-Negara UEFA di Stadium San Siro, Milan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini