PETALING JAYA: Jurang pengiklanan jawatan kosong semakin ketara apabila meningkat 42 peratus pada suku ketiga tahun ini, namun pertumbuhan permohonan kerja jauh lebih perlahan pada kadar 17 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Data Jobstreet by SEEK Malaysia menunjukkan purata permohonan bagi setiap iklan jawatan kosong merosot 17.6 peratus dalam tempoh berkenaan, menggambarkan persaingan mendapatkan pekerja yang semakin berubah ketika majikan meningkatkan pengambilan tenaga kerja.
Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam berkata, perkembangan itu dapat dilihat dengan lebih ketara dalam sektor peruncitan dan produk pengguna apabila iklan jawatan kosong meningkat 202.3 peratus tahun ke tahun, manakala jumlah permohonan hanya bertambah 43.5 peratus.
“Dalam sektor kejuruteraan pula, iklan pekerjaan meningkat 58 peratus, berbanding pertumbuhan permohonan sebanyak 12.6 peratus.
“Majikan dalam sektor berkenaan perlu memberikan perhatian bukan sahaja kepada peningkatan aktiviti pengambilan pekerja, malah keupayaan menarik calon yang mempunyai kemahiran dan pengalaman bersesuaian.
“Bagaimanapun, jumlah permohonan semata-mata tidak boleh dijadikan petunjuk bahawa sesuatu sektor mengalami kekurangan pekerja berkemahiran atau menentukan sama ada kekosongan jawatan berjaya diisi,” katanya dalam kenyataan.
Dari segi taburan geografi, beliau berkata, Pulau Pinang merekodkan peningkatan iklan jawatan kosong sebanyak 69.5 peratus, manakala jumlah permohonan meningkat 8.5 peratus.
“Johor pula mencatatkan pertumbuhan iklan pekerjaan sebanyak 52.2 peratus, berbanding peningkatan 19.8 peratus dalam jumlah permohonan.
“Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran di Pulau Pinang dan Johor masing-masing berada pada 2.7 peratus dan 2.4 peratus pada suku ketiga 2026, lebih rendah berbanding kadar nasional sebanyak 3.0 peratus,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, peluang pekerjaan yang diiklankan turut menunjukkan pertumbuhan merentasi pelbagai peringkat pengalaman, dengan jawatan peringkat permulaan kerjaya mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 56.2 peratus tahun ke tahun.
“Ia diikuti jawatan peringkat pertengahan yang meningkat 42.6 peratus, manakala jawatan peringkat kanan berkembang 29.8 peratus.
“Peningkatan peluang pekerjaan peringkat permulaan itu memberikan perkembangan positif kepada individu yang baru memasuki pasaran kerja, namun calon masih perlu meneliti kelayakan dan pengalaman yang ditetapkan bagi setiap jawatan.
“Pada masa sama, DOSM merekodkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sebanyak 35 peratus dalam kalangan pekerja berpendidikan tertiari pada suku ketiga 2026, berkurangan 0.2 mata peratusan berbanding 35.2 peratus pada suku sebelumnya.
“Kadar itu merujuk kepada bahagian pekerja berpendidikan tertiari yang bekerja dalam pekerjaan berkemahiran separa atau rendah, sekali gus menunjukkan isu ketidakpadanan kemahiran masih menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian dalam pasaran buruh,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, majikan perlu mengenal pasti kemahiran yang benar-benar diperlukan bagi sesuatu jawatan serta mempertimbangkan pengalaman berkaitan yang diperoleh calon daripada sektor atau bidang pekerjaan lain.
“Pendekatan tersebut dapat memperluas kumpulan calon berpotensi, selain membantu pekerja mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih sepadan dengan kemahiran dan kelayakan mereka.
“Bagi pencari kerja, perkembangan pengambilan pekerja mengikut sektor dan lokasi pula boleh dijadikan panduan untuk mengenal pasti peluang pekerjaan serta kemahiran yang perlu dipertingkatkan bagi meningkatkan kebolehpasaran,” katanya. – UTUSAN











