Ketidakpadanan kemahiran, majikan sukar menarik calon sesuai?

Ketidakpadanan kemahiran, majikan sukar menarik calon sesuai?

NICHOLAS Lam bersama petugas yang menjayakan penganjuran Pameran Kerjaya & Latihan Malaysia (MCTF) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Walaupun Malaysia mempunyai kumpulan bakat yang besar dan pelbagai, ketidakpadanan kemahiran kekal sebagai cabaran yang mendesak. 

Pada masa yang sama, majikan mendapati lebih sukar untuk menarik calon, kerana pencari kerja kini lebih menekankan skop peranan, peluang untuk pertumbuhan, dan mobiliti kerjaya jangka panjang.

Dengan tumpuan yang lebih tajam pada kesediaan digital, kemampanan dan amalan pekerjaan yang adil, Jobstreet by SEEK merapatkan jurang antara majikan dan pencari kerja melalui penganjuran Pameran Kerjaya & Latihan Malaysia (MCTF) baru-baru ini.

Sebagai antara pameran kerjaya yang diiktiraf di Malaysia, MCTF terus berperanan merapatkan majikan dan pencari kerja. Dalam satu temu bual bersama Utusan Malaysia baru-baru ini,   Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam berkongsi lebih lanjut mengenai MCTF,  keutamaan pencari kerja ketika ini, peluang-peluang kerjaya,  dan apa yang `dicari’ majikan. Ikuti temu bual berkenaan.

UTUSAN: Bagaimanakah keutamaan pencari kerja Malaysia berubah menjelang tahun 2026 berbanding tahun-tahun sebelumnya?

NICHOLAS LAM: Menjelang 2026, pencari kerja di Malaysia semakin lantang menyuarakan hal-hal yang penting buat mereka. Mereka kini menetapkan harapan lebih jelas terhadap aspek gaji, budaya kerja serta pembangunan kerjaya, dan lebih berani menolak tawaran yang tidak memenuhi keperluan tersebut.

Banyak perniagaan di Malaysia, terutamanya PKS, telah bertindak balas dengan menyesuaikan pakej pampasan serta manfaat, dengan mengambil kira kadar inflasi serta memastikan tawaran manfaat kekal kompetitif. Meskipun ramai mengharapkan kenaikan gaji apabila menukar kerja, namun, semakin ramai juga yang sanggup melepaskan gaji lebih tinggi demi model kerja hibrid, waktu kerja fleksibel dan hidup yang lebih seimbang, menurut laman Talent Attraction Lab kami.

Selain gaji dan fleksibiliti, pencari kerja kini lebih menitikberatkan peluang pekerjaan yang menawarkan makna, ruang peningkatan kemahiran, serta mobiliti jangka panjang — menandakan peralihan ke arah keputusan pekerjaan yang lebih strategik dan berpandangan jauh.

Industri manakah yang menunjukkan kadar pengambilan pekerja tertinggi, dan apakah kemahiran yang paling mendapat permintaan?

Di platform Jobstreet, kategori pekerjaan paling banyak diiklankan ialah Perakaunan (12.9 peratus), Pembuatan, Pengangkutan & Logistik (11.9 peratus), serta Jualan (10.1 peratus). Bagi calon berdaftar pula, kategori tertinggi ialah Pembuatan, Pengangkutan & Logistik (12.1 peratus), Kejuruteraan (11.7 peratus), serta Pentadbiran dan Sokongan Pejabat (11.2 peratus).

Sektor-sektor ini kekal popular kerana menjadi tunjang ekonomi negara. Perakaunan kekal penting seiring dengan fokus syarikat-syarikat terhadap pematuhan, kawalan kos, dan pengurusan kewangan dalam landskap yang semakin kompetitif. Di samping itu, sektor pembuatan, pengangkutan dan logistik terus berkembang seiring pemodenan e-dagang dan rantaian bekalan. Jawatan jualan juga tetap relevan disebabkan perniagaan memberi keutamaan kepada pemerolehan pelanggan baharu dan peluasan pasaran.

Bagaimana GenAI dan alat berpandukan data mengubah reka bentuk pekerjaan serta mempercepat proses pengambilan pekerja, dan apakah langkah diambil Jobstreet by SEEK untuk menjamin keadilan?

Kini, teknologi AI dan alat berpandukan data sedang membentuk semula proses pengambilan pekerja. Saringan resume, analitik ramalan, dan carian berasaskan Model Bahasa Besar (LLM) membolehkan majikan menilai jumlah permohonan yang besar dengan lebih cepat dan objektif, bagi mengurangkan bias serta ketidakcekapan yang ada dalam kaedah pengambilan tradisional.

Di Jobstreet, cadangan berasaskan AI kami memadankan calon dengan jawatan berdasarkan kemahiran dan keutamaan masing-masing; manakala algoritma canggih meningkatkan ketepatan carian dan mempercepat lagi pencarian kerja yang tepat. Majikan turut meraih manfaat daripada alat sokongan AI yang membantu menghasilkan iklan kerja yang lebih baik, serta mengenal pasti calon yang sesuai — menjimat masa dan meningkatkan kualiti pengambilan pekerja.

Keadilan dan ketelusan juga menjadi keutamaan kami. Justeru, kami telah melaksanakan langkah perlindungan dalam platform kami — termasuk pengesahan kelayakan, pengurangan bias, serta cerapan berpandukan data seperti penanda aras gaji — bagi memastikan persekitaran pengambilan pekerja yang inklusif dan dipercayai. Inovasi-inovasi ini bukan sahaja membantu majikan kekal kompetitif, malah memperkasakan pencari kerja melalui data dan ketelusan.

Jawatan manakah yang paling berkembang pesat, dan bagaimana pencari kerja boleh memposisikan diri untuk merebut peluang tersebut?

Pertumbuhan pesat kini tertumpu pada fungsi digital dan AI, ekonomi hijau, serta jawatan kepimpinan yang menuntut kemahiran insaniah yang kukuh. Majikan kini giat mengambil pekerja dalam bidang pengurusan kelestarian, kejuruteraan tenaga boleh diperbaharui dan pematuhan ESG — khususnya dalam sektor pembuatan dan logistik.

Laporan Decoding Global Talent: GENAI Edition Report 2024 menunjukkan separuh daripada profesional Malaysia pernah meneroka teknologi GenAI, manakala 44 peratus kerap menggunakannya. Namun, ramai yang masih berhadapan cabaran dalam aplikasi praktikalnya. Ini menunjukkan kepentingan kefahaman AI, literasi digital dan pengalaman praktikal dalam alat seperti ChatGPT atau Canva — khususnya dalam bidang IT, pemasaran dan pengurusan perniagaan, di mana automasi menjadi pemacu inovasi.

Untuk kekal kompetitif, pencari kerja perlu membina kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah. Pemikiran analitikal, penyelesaian masalah dan pengurusan projek merupakan kemahiran penting untuk mengendalikan projek melibatkan AI; manakala kecerdasan emosi, kebolehsuaian dan kemahiran komunikasi akan meningkatkan lagi kepimpinan dan kerja berpasukan. Gabungan kemahiran inilah yang memastikan profesional kekal relevan dalam pasaran kerja yang sentiasa berubah.

Kini, kemahiran apakah yang menawarkan premium gaji tertinggi, dan bagaimana pencari kerja boleh menyusun semula kemahiran untuk merebut peluang ini?

Kemahiran yang menawarkan premium gaji tertinggi tertumpu pada bidang teknologi, kewangan serta transformasi digital dan AI gunaan (Applied AI):

  • Teknologi dan digital – Pembangunan perisian, sains data, keselamatan siber, AI dan pengkomputeran awan kekal mendapat permintaan tinggi, dengan gaji yang biasanya melebihi purata disebabkan kekurangan bakat.
  • Kewangan dan fintech (teknologi kewangan) – Jawatan dalam perakaunan, audit dan fintech menawarkan potensi pendapatan tinggi. Profesional yang mampu menggabungkan kepakaran kewangan dengan kemahiran digital semakin dihargai.
  • Alat AI gunaan (Applied AI) – Selain kepakaran teknikal, majikan giat mencari calon yang mahir menggunakan aplikasi berkuasa AI seperti ChatGPT, Gemini dan platform automasi yang khusus industri. Dalam industri kreatif, alat seperti MidJourney dan Canva semakin menjadi keperluan asas. Calon yang mampu menerapkan teknologi ini dalam aliran kerja mereka akan lebih menonjol.

Bagi merebut peluang ini, pencari kerja perlu memberi perhatian kepada peningkatan kemahiran dalam bidang transformasi digital, fintech dan penerapan AI — dengan membina asas kepakaran teknikal yang kukuh serta kemahiran insaniah yang mudah disesuaikan — bagi memperoleh gaji lebih tinggi dan prospek kerjaya jangka panjang.

Apakah jenis jawatan teknikal dan sokongan baharu yang wujud susulan pelaburan berskala besar dalam infrastruktur digital? Apakah julat gaji yang biasanya ditawarkan majikan?

Pelaburan berskala besar dalam infrastruktur digital telah melahirkan pelbagai jawatan teknikal dan sokongan kritikal. Dengan RM278 bilion disalurkan kepada pelaburan digital antara 2021 dan 2024 – termasuk RM184.7 bilion dalam projek awan dan pusat data – Malaysia kini muncul sebagai hab global bagi fasiliti hyperscale dan perkhidmatan awan. Johor muncul sebagai hab utama, disokong oleh Zon Ekonomi Singapura dan taman perindustrian baharu, dengan pertumbuhan kini melangkaui Kuala Lumpur.

Bagi jawatan teknikal, permintaan terhadap jurutera pusat data, arkitek awan dan pakar keselamatan siber kian meningkat, dengan julat gaji antara RM5,300 hingga RM11,000 sebulan, manakala jawatan kanan boleh mencecah sehingga RM20,000. Jawatan permulaan seperti juruteknik rangkaian bermula sekitar RM2,400 hingga RM3,200, menyediakan peluang perkembangan untuk graduan dan profesional pertengahan.

Jawatan sokongan seperti dalam bidang pembinaan, kejuruteraan elektrik, pemasangan HVAC (pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara), serta perkhidmatan rantaian bekalan melahirkan lebih peluang pekerjaan berbanding pusat data itu sendiri. Gaji bagi jawatan-jawatan ini biasanya antara RM3,500 hingga RM6,000 sebulan, dengan pakar kanan atau pengurus projek memperoleh sehingga RM10,000 ke atas. Jawatan keselamatan dan pengurusan fasiliti pula memberikan sekitar RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, dan berperanan penting dalam memastikan operasi berjalan 24 jam.

Pelaburan oleh gergasi-gergasi teknologi menunjukkan impak besar: projek pusat data Microsoft bernilai AS$2.2 bilion dijangka menyokong 37,000 pekerja di Malaysia dan menjana nilai rantaian sebanyak AS$10.9 bilion dalam tempoh empat tahun.

Sementara itu, fasiliti Google yang bernilai AS$2 bilion akan mewujudkan 26,500 pekerjaan dan aktiviti ekonomi bernilai AS$3.2 bilion menjelang 2030.

Projek-projek ini menyerlahkan rantaian peluang yang luas dalam ekonomi digital Malaysia.

Apakah trend gaji baharu yang perlu diberi perhatian oleh pencari kerja dan majikan?

Kenaikan gaji telah diperhatikan merentasi semua peringkat, terutamanya dalam kalangan pekerja muda. Kumpulan bawah 20 tahun mencatatkan peningkatan sebanyak 13.3 peratus kepada RM1,700 berikutan pelaksanaan gaji minimum baharu pada Februari lalu. Secara keseluruhan, gaji median bulanan meningkat kepada RM3,000 pada Mac 2025 — kenaikan 5.5 peratus berbanding RM2,844 pada tahun sebelumnya.

Pada tahun 2025, gaji dijangka akan terus meningkat sekitar 5 peratus, dipacu oleh sektor pembuatan berteknologi tinggi, pembinaan dan transformasi digital. Tenaga kerja yang memiliki kepakaran dalam AI, pengkomputeran awan dan keselamatan siber akan terus menikmati premium gaji yang tinggi.

Ekonomi digital Malaysia, yang dijangka menyumbang lebih 25 peratus kepada KDNK menjelang 2025, turut memacu permintaan dalam semua fungsi — IT, sumber manusia, pemasaran dan kewangan. Dalam sektor pembuatan yang menyumbang 23% kepada KDNK pada tahun 2022, pelaburan dalam automasi dan robotik terus mengukuhkan keperluan terhadap tenaga mahir, sejajar dengan agenda Industri 4.0.

Apakah titik permulaan paling praktikal bagi pencari kerja untuk memasuki sektor pertumbuhan tinggi?

Bagi graduan baharu, titik permulaan terbaik ialah jawatan yang mudah diakses dan berpotensi membina kemahiran. Dalam industri teknologi, permintaan terhadap pembangun perisian junior, pakar sokongan IT dan penganalisis data amat tinggi. Kebanyakan jawatan ini hanya memerlukan ilmu pengekodan asas, literasi data, atau pensijilan dalam bidang seperti pengkomputeran awan dan keselamatan siber — yang boleh diperoleh melalui kursus pendek atau mikro-kelayakan.

Dalam ekonomi hijau, jawatan kemasukan seperti audit alam sekitar, sokongan pematuhan atau penyelarasan projek memberi peluang kepada mereka yang ingin membina kerjaya berasaskan kelestarian. Sementara itu, dalam sektor kewangan, jawatan dalam audit, perakaunan dan sokongan fintech kekal relevan, terutama bagi mereka yang menggabungkan pengetahuan kewangan dan kemahiran digital.

Bagi profesional pertengahan kerjaya yang ingin menukar haluan, mereka boleh memanfaatkan kepakaran sedia ada sambil memperoleh kemahiran digital baharu. Misalnya, profesional dalam bidang pemasaran atau sumber manusia boleh beralih ke sektor pertumbuhan tinggi, dengan menguasai alat berasaskan AI untuk automasi, analitik dan penglibatan digital. Jurutera serta profesional dalam bidang pembuatan pula boleh beralih ke pematuhan ESG, pendigitalan rantaian bekalan atau pengurusan kelestarian, dengan meningkatkan kemahiran spesifik. Sementara itu, profesional kewangan boleh beralih ke sektor fintech, pengurusan risiko atau pembuatan keputusan berpandukan data, dengan menguasai perisian serta alat digital terkini.

Bagaimankah perkembangan MCTF oleh Jobstreet dari dulu hingga sekarang? 

Pameran Kerjaya dan Latihan Malaysia (MCTF) telah berkembang pesat bagi memenuhi keperluan pencari kerja dan majikan di seluruh negara. Buat pertama kali, Jobstreet by SEEK dan MCTF memperluas penganjurannya ke luar Kuala Lumpur dengan edisi baharu di Johor Bahru. Ini mencerminkan komitmen kami untuk merapatkan jurang geografi dalam pengambilan pekerja, demi menjamin peluang kerjaya yang saksama di seluruh negara, termasuk di luar bandar utama.

Menerusi langkah ini, MCTF menyatukan majikan dengan bakat di pusat-pusat serantau dan bandar-bandar kecil, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih saksama. Jobstreet by SEEK akan terus melancarkan edisi serantau MCTF dan memperkukuh kerjasama dengan pelbagai majikan sepanjang tahun 2025 hingga 2026.

Kini, dengan 6.9 juta calon berdaftar dan 13.1 juta kunjungan bulanan, Jobstreet by SEEK kekal sebagai ekosistem pekerjaan terbesar di Malaysia. Kami komited membantu rakyat Malaysia mendapat pekerjaan yang sesuai, sambil melestarikan kerjaya mereka.

Apakah impak MCTF terhadap landskap pekerjaan Malaysia?

MCTF telah memberikan impak nyata kepada landskap pekerjaan negara dengan menghubungkan bakat secara langsung kepada peluang sebenar. Edisi 2025 berjaya menarik lebih 30,000 pencari kerja, serta menghimpunkan hampir 100 majikan terkemuka yang menawarkan lebih 15,000 peluang kerjaya merentasi pelbagai industri.

Walaupun penganjurannya berlangsung ketika pasaran buruh Malaysia kekal berdaya tahan — dengan 16.85 juta individu bekerja dan kadar pengangguran stabil pada 3.0 peratus — namun permintaan kini semakin tertumpu pada kemahiran digital, kepakaran kelestarian dan jawatan yang tersebar di pelbagai wilayah.

Antara majikan utama yang menyertai MCTF 2025 termasuk AEON, Bank Negara Malaysia, CIMB, KLK, Perodua, Agoda, Coach, Public Bank dan Setia, yang menawarkan pelbagai jawatan korporat, teknikal dan operasi. MCTF memberi tumpuan kepada graduan baharu, profesional pertengahan kerjaya serta individu yang ingin menukar bidang atau mencari kerja fleksibel dan jarak jauh – sekali gus memperkukuh peranannya sebagai platform yang merancakkan aktiviti pengambilan tenaga kerja dan mempersiapkan rakyat Malaysia menghadapi masa depan pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN