MUKADIMAH
Keputusan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bersama Perikatan Nasional (PN) menyebabkan Ahli Parlimen Bukit Gantang, DATUK SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL serta lima wakil rakyat lain dilabel pengkhianat oleh pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Namun, beliau berpendirian tindakan itu diambil bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya bagi memastikan rakyat di kawasan yang diwakilinya tidak terus terpinggir daripada bantuan dan peruntukan kerajaan.
Malah, apabila Bersatu sendiri akhirnya mengambil keputusan menyokong kerajaan melalui Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA), beliau melihat perkembangan itu sebagai bukti bahawa pendekatan yang pernah dikritiknya dahulu kini turut diterima parti beliau sendiri.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR serta dibantu jurufoto, SYAKIR RADIN, beliau turut menjelaskan mengapa CSA bukan rasuah, mengkritik percaturan politik yang disifatkan hanya menguntungkan kepentingan parti, selain mendedahkan kemungkinan bertanding sebagai calon Bebas atau menyertai PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
PERUNTUKAN DEMI RAKYAT
MINGGUAN MALAYSIA: Datuk pernah dilabel pengkhianat selepas mengambil keputusan menyokong kerajaan. Hari ini, Bersatu sendiri mengambil langkah yang hampir sama melalui CSA. Apa pandangan Datuk?
Saya sudah bersama Bersatu dan PN lebih setahun ketika itu. Pada peringkat awal, dua Ahli Parlimen yang keluar daripada kelompok penyokong Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Labuan.
Kemudian, kami dipanggil untuk berbincang dengan pihak Bersatu. Dalam perbincangan itu, saya menjelaskan kedudukan kami sebagai Ahli Parlimen biasa yang tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan banyak perkara.
Saya pernah menggambarkan keadaan kami seperti serigala yang terbiar tanpa senjata. Kita tidak mempunyai peluru, malah tidak mempunyai arahan untuk melakukan sesuatu tetapi apabila pulang ke kawasan, perkara yang kita dengar adalah rintihan rakyat.
Ada rakyat yang tidak mampu membayar kos rawatan, terjerat dengan pinjaman ah long sehingga keluarga diugut, rumah rosak akibat ribut dan bumbung diterbangkan angin. Ada juga yang memerlukan bantuan persekolahan anak, membaiki rumah, membayar sewa dan mendapatkan keperluan harian.
Saya menerima permintaan bantuan hampir setiap hari melalui WhatsApp. Baru-baru ini, apabila saya membuat hebahan bantuan persekolahan, lebih 1,000 permohonan diterima. Ada seorang ibu, suri rumah dan mempunyai tiga anak bersekolah memberitahu dia tidak tahu mengisi permohonan bantuan secara dalam talian.
Saya minta pegawai turun mencari dan membantu keluarganya. Ada yang meminta RM150 untuk membeli susu anak. Ada yang tidak mampu membayar sewa rumah, membeli lauk atau mendapatkan gas memasak. Jadi, itulah tugas utama kita sebagai wakil rakyat, iaitu mengurangkan beban rakyat. Saya tidak mahu mereka menjadi mangsa kepada percaturan politik.
CSA BUKAN RASUAH
Keputusan Datuk menandatangani CSA lebih awal hanyalah semata-mata untuk mendapatkan peruntukan demi rakyat?
Ya, kerana saya melihat peruntukan itu penting untuk membantu rakyat. Ketika itu, kerajaan mempunyai pendirian bahawa pembangkang tidak akan diberikan peruntukan. Secara logiknya, apabila kita menentang kerajaan di Parlimen, bagaimana kerajaan hendak memberikan peruntukan kepada kita?
Saya tidak mahu perkara itu berterusan kerana rakyat di kawasan yang saya wakili tetap memerlukan bantuan. Sebab itu, saya melihat keperluan untuk mencari jalan melalui satu perjanjian iaitu CSA.
Konsep CSA ini bukan perkara baharu. Ia pernah dilaksanakan ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan kestabilan kerajaan melalui persetujuan antara kerajaan dengan pembangkang.
Tujuan kerajaan melaksanakan perjanjian itu adalah untuk memastikan pentadbiran stabil. Kerajaan memerlukan sokongan bagi meluluskan belanjawan dan melaksanakan dasar, manakala wakil rakyat pembangkang memerlukan peruntukan untuk membantu kawasan masing-masing.
Kedua-dua pihak mempunyai kepentingan yang jelas. Kalau kerajaan memberikan peruntukan tetapi pada masa sama tidak mendapat sokongan, bagaimana kerajaan hendak berfungsi? Bagi saya, ini bukan pancingan dan bukan rasuah.
Bagaimana Datuk menjelaskan CSA ini bukan rasuah sedangkan kerajaan memberikan peruntukan sebagai balasan mendapatkan sokongan?
CSA ini bukan rasuah. Ini bukan pancingan. Kita isytiharkan secara terbuka bahawa ada persetujuan antara kerajaan dengan wakil rakyat.
Rasuah itu berlaku secara sorok-sorok, sembunyi-sembunyi dan melibatkan perkara yang salah. Tetapi dalam CSA, kedua-dua pihak mengetahui persetujuan yang dibuat.
Kerajaan memberikan peruntukan kepada wakil rakyat untuk membantu rakyat, manakala sebagai timbal balik, kita memberikan sokongan bagi memastikan kestabilan pentadbiran kerajaan. Jadi, di mana rasuahnya?
Kita bukan menerima wang untuk kepentingan peribadi. Peruntukan itu digunakan untuk melaksanakan projek pembangunan, membantu peniaga kecil dan meringankan beban rakyat.
Saya melihat pihak yang menuduh CSA sebagai rasuah sebenarnya cuba memainkan sentimen politik sehingga rakyat mendapat gambaran yang salah.
Mereka seolah-olah membiarkan rakyat tidak memahami perkara sebenar. Padahal rakyat tahu wakil rakyat pembangkang juga memerlukan peruntukan untuk menjalankan tugas.
Berapa banyak peruntukan yang Datuk terima dan bagaimana ia digunakan?
Secara keseluruhannya, peruntukan yang saya terima sekitar RM4 juta setahun. Antaranya, Projek Mesra Rakyat (PMR) sebanyak RM2 juta setahun untuk projek fizikal seperti membina atau membaiki jalan, dewan, rumah dan kemudahan awam lain.
Selain itu, terdapat peruntukan sekitar RM1.7 juta untuk bantuan secara langsung kepada rakyat, termasuk bantuan tunai. Kerajaan juga menyediakan RM300,000 setahun bagi pengurusan pejabat. Jadi, jumlah keseluruhannya sekitar RM4 juta setahun.
Peruntukan itu membolehkan saya membantu rakyat dalam pelbagai aspek. Ada yang memerlukan bantuan membaiki rumah selepas dilanda ribut, ada yang tidak mampu membeli susu anak, membayar sewa rumah dan menyediakan keperluan persekolahan.
Apa lagi yang kita hendak pertikaikan sekiranya peruntukan itu boleh digunakan untuk membantu rakyat?
Adakah sokongan kepada kerajaan bermaksud Datuk perlu bersetuju dengan semua keputusan yang dibuat Perdana Menteri?
Tidak. Sokongan melalui CSA tidak bermaksud kita perlu mengikat mulut atau bersetuju dengan semua perkara yang dilakukan kerajaan.
Kalau ada dasar yang kita tidak setuju, kita masih boleh menyuarakan pandangan. Sebagai contoh, saya tidak bersetuju dengan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal. Saya memilih untuk tidak mengambil bahagian dalam pengundian berkaitan perkara itu.
Saya juga masih memperjuangkan isu beras dan padi yang sehingga kini belum diselesaikan sepenuhnya.
Jadi, jangan salah faham. Kita boleh menyokong kerajaan dalam perkara yang memberi manfaat kepada rakyat tetapi pada masa sama terus mengkritik dasar yang tidak dipersetujui.
DILABEL PENGKHIANAT
Datuk pernah dilabel sebagai pengkhianat. Bagaimana Datuk menerima kritikan itu?
Bukan perkara mudah apabila dilabel pengkhianat kerana mengambil keputusan menyokong kerajaan. Malah, ada pihak menaikkan kain rentang di kawasan saya dengan melabelkan saya sebagai pengkhianat.
Tetapi saya mahu bertanya, saya melakukan semua itu untuk siapa? Untuk kepentingan diri sendiri atau rakyat? Saya mendapatkan peruntukan kerana mahu membantu rakyat. Kalau saya tidak berusaha mendapatkan peruntukan, siapa yang akan menanggung kesannya? Rakyat juga.
Bagi saya, pemimpin tidak boleh terlalu mengikut sentimen parti sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat. Kita perlu ada keberanian membuat keputusan walaupun terpaksa menerima kritikan.
Dulu, saya dikatakan pengkhianat kerana menyokong kerajaan. Sekarang, parti yang mengkritik tindakan saya itu sendiri mengambil keputusan menyokong kerajaan.
Sekarang parti Bersatu termasuk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menandatangani perjanjian CSA tersebut. Komen.
Dahulu, apabila kami mengambil keputusan menyokong kerajaan, kami dilabel sebagai pengkhianat. Tetapi sekarang Bersatu sendiri sudah menyokong kerajaan. Saya melihat Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu, orang tidak mengatakan beliau pengkhianat ya?
Bagi saya, perkara ini menunjukkan wujudnya perbezaan layanan terhadap keputusan politik yang pada asasnya mempunyai pendekatan hampir sama.
Selepas Ahli Parlimen Bersatu menandatangani CSA, adakah sebarang perbincangan dibuat termasuk dengan Tan Sri Muhyiddin atau mana-mana pemimpin Bersatu tentang CSA ini?
Tidak ada. Mungkin sebab Muhyiddin pun malu hendak bincang dengan saya. Tapi secara tidak langsung, ada kawan-kawan jumpa dan sembang tentang perkara ini dengan saya, baru-baru ini.
Muhyiddin pun sudah setuju dengan cara kita. Dulu kata kita pengkhianat. Sekarang ini orang-orang Datuk Seri Hamzah Zainudin sudah mengkhianati dia (Muhyiddin) dan ini menjadi pengkhianatan yang terbesar ketika ini. Lebih parah, Bersatu hari ini menyokong kerajaan.
Kalau dari dulu sokong Perdana Menteri bukan dah mudah? Saya sudah memperoleh RM12 juta selama tiga tahun untuk rakyat. Mereka baru mula tanda tangan. Permainan politik ini tidak akan habis sampai sudah dan akhirnya yang rugi adalah rakyat.
Adakah Datuk melihat keputusan Bersatu menandatangani CSA kerana terdesak mencari kedudukan politik?
Sebagai sebuah parti, saya melihat Bersatu sedang mencari tempat untuk berteduh dalam keadaan politik yang tidak menentu. Parti itu sendiri berdepan perpecahan dan persoalan mengenai hala tuju kepimpinannya. Akhirnya, mereka bersetuju untuk menyokong kerajaan.
Namun, saya tidak tahu apakah hala tuju sebenar Bersatu sekarang. Adakah sokongan itu bersifat sementara atau mempunyai strategi politik jangka panjang? Saya tidak tahu kerana saya tidak lagi terlibat dalam perbincangan parti.
Bagaimanapun, saya melihat ahli Parlimen yang menyertai persetujuan itu gembira kerana akhirnya mereka juga mendapat peruntukan untuk kawasan masing-masing. Bagi saya, rakyat yang rugi apabila wakil rakyat terlalu mengutamakan percaturan politik berbanding tanggungjawab mereka.
Jadi, apa mesej yang Datuk ingin simpulkan dalam hal ini?
Pembangkang perlu berkualiti, bukan membuta tuli. Kita perlu memahami tugas sebenar seorang wakil rakyat, iaitu berkhidmat kepada rakyat.
Kedua, kita perlu membantu menstabilkan negara. Menjadi pembangkang tidak bermaksud kita perlu menentang semua perkara yang dilakukan kerajaan.
Kalau ada dasar yang tidak betul, tegurlah. Tetapi kalau sesuatu perkara itu memberi manfaat kepada rakyat, mengapa perlu ditolak hanya kerana ia datang daripada kerajaan?
Kita tidak boleh menjadi pembangkang yang membuta tuli sehingga kepentingan rakyat diketepikan. Apa yang lebih penting, rakyat mendapat manfaat, ekonomi negara stabil dan kerajaan dapat melaksanakan tanggungjawabnya.
BERGERAK SOLO
Adakah Datuk merasakan lebih mudah bergerak sendiri berbanding dalam parti?
Bagi saya, parti hanyalah alat atau platform perjuangan. Parti bukan segala-galanya. Kalau kita bercakap mengenai perjuangan, akhirnya ia kembali kepada individu.
Dahulu, orang Melayu melihat UMNO sebagai parti utama untuk memperjuangkan kepentingan mereka. Tetapi sekarang terlalu banyak parti politik yang mewakili orang Melayu. Jadi, kalau kita menganggap parti sebagai satu-satunya tapak perjuangan, saya rasa itu tidak tepat. Kita perlu kembali kepada persoalan sebenar, apakah yang mahu kita bawa dan apakah tanggungjawab kita kepada rakyat?
Rakyat hari ini semakin matang. Mereka mahukan dasar yang lebih baik untuk negara dan kehidupan mereka. Namun, bagi negara yang masih membangun seperti Malaysia, rakyat juga masih sangat mengharapkan bantuan daripada wakil rakyat.
Sebab itu, tugas pertama seorang wakil rakyat adalah memperjuangkan hak rakyat. Kita perlu tahu apa yang mereka perlukan dan bagaimana kita boleh membantu menyelesaikan masalah kehidupan mereka.
Tidak kiralah seseorang itu wakil rakyat UMNO, Bersatu, PKR atau parti lain. Tanggungjawabnya tetap sama.
Apakah perancangan Datuk menjelang PRU akan datang? Ada kemungkinan bertanding sebagai calon Bebas?
Saya melihat ada dua kemungkinan. Pertama, saya bertanding sebagai calon Bebas dan kedua, ada kemungkinan saya bersama dengan Anwar melalui PKR. Saya mahu melihat sejauh mana rakyat hari ini menilai seseorang wakil rakyat berdasarkan khidmat yang diberikan, bukan semata-mata kerana lambang parti.
Bagi saya, parti hanyalah platform perjuangan. Perjuangan sebenar kembali kepada individu. Kita tidak boleh menganggap seseorang itu tidak mampu berkhidmat hanya kerana dia tidak berada dalam parti tertentu.
Saya mungkin akan cuba bertanding sebagai calon Bebas untuk melihat penerimaan rakyat terhadap pendekatan politik seperti ini.
Saya faham bukan mudah untuk calon Bebas menang kerana pengundi masih melihat kekuatan parti. Namun, saya mahu menguji sama ada rakyat sudah bersedia menilai seseorang calon berdasarkan khidmat dan pendiriannya. – Mingguan Malaysia











