PENGALAMAN selepas fasa perceraian dengan pelakon, Allahyarham Ridzuan Hashim antara yang banyak mengajar pelakon, pengacara dan pelawak terkenal, Didie Alias tentang susah senang dan jatuh bangun dalam kehidupan.
Mengakui ketika itu melalui jalan kehidupan sukar, Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohd. Ali menceritakan detik kepayahan terpaksa merempat di rumah kakak angkatnya demi mendapatkan tempat perlindungan.
“Selepas bercerai, saya keluar rumah dalam keadaan sehelai sepinggang. Mujur saya ada kakak angkat yang rela membantu, jadi dia membiarkan saya menumpang di rumahnya.
“Namun, disebabkan rumah itu sudah memiliki penyewa lain, saya terpaksa tidur beralaskan tilam dan bantal, menghadap singki di kawasan dapur dengan hanya ditutup sebuah almari. Saya terpaksa ambil keputusan tersebut kerana ekonomi saya tidak stabil, anak seni ini ada fasa turun dan naiknya,” katanya ketika dihubungi Pancaindera.
Menurut Didie lagi, dia bersyukur kerana ketika itu Ridzuan mengambil tugas membesarkan anak selama setahun sementara dia mencari pekerjaan dan membina semula kehidupan.
“Mujur ketika itu anak-anak saya tinggal dengan bekas suami, jika tidak mereka juga terpaksa bersusah payah bersama saya. Tapi saya katakan kepada arwah suami, selepas satu tahun, saya akan kembali untuk ambil anak-anak untuk tinggal bersama,” katanya lagi.

hidupnya.
Bercerita tentang kepayahan yang terpaksa ditempuh, Didie memaklumkan kegawatan ekonomi yang melanda negara pada ketika itu menjadikan kehidupan bertambah sukar.
“Ketika bercerai, kebetulan negara mengalami kegawatan ekonomi yang amat teruk. Industri seni antara yang paling terkesan, terumbang ambing.
“Penerbit pun ramai yang gulung tikar disebabkan kurangnya peluang untuk menghasilkan filem dan drama.
“Apatah lagi pelakon yang terkesan, tiada tawaran berlakon kerana inflasi yang meranapkan perniagaan perfileman.Jadi saya tiada pilihan, selain bertukar bidang, siang bekerja di pejabat manakala pada sebelah malam, berniaga.
“Perkara itu berlarutan dalam tempoh satu tahun. Selepas ekonomi kembali pulih sedikit demi sedikit, saya mengambil anak-anak saya untuk tinggal di rumah sewa di sekitar Ampang, Selangor,” kongsinya.

Didie bersyukur kerana anak sulungnya banyak mengurangkan beban yang ditanggung, mengambil alih tugas menjaga adik beradiknya ketika Didie keluar mencari rezeki.
“Saya beruntung kerana memiliki anak sulung yang pandai berdikari. Dalam saya sibuk bekerja dan berniaga, dialah yang menjaga adik-adiknya.
“Dia anak yang paling banyak berkorban menjaga adik-adiknya. Keadaan itu meringankan beban saya, seorang ibu tunggal yang terpaksa menjaga lima orang anak,” katanya lagi.
Didie dalam masa sama merahsiakan cerita perceraiannya untuk beberapa tempoh daripada pengetahuan keluarga kerana enggan menyusahkan mana-mana pihak
“Saya bekerja siang malam berhempas pulas untuk mencari pendapatan supaya saya dan anak-anak tidak hidup melarat.Saya ini jenis manusia yang tidak mahu menyusahkan keluarga. Bahkan saya bercerai dahulu tidak ramai yang tahu macam mana susahnya saya membina semula kehidupan,” kongsinya.

SCAN DARI PUSAT MAKLUMAT UTUSAN MELAYU
Didie juga tidak menafikan bahawa akibat terlalu kurus kerana berhempas pulas bekerja mengakibatkan ada pihak yang menuduh dia mengambil dadah dan memandang serong terhadapnya.
“Hidup ketika itu ‘keras’. Tambah pula tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Saya bekerja siang malam, sehinggakan makan tidak terjaga, membuatkan badan saya menyusut sehingga 40 kilogram waktu itu.
“Disebabkan penurunan drastik berat badan, saya dituduh mengambil dadah. Orang tidak tahu yang saya makan pun sekadar apa yang ada.
“Tapi saya pekakkan telinga. Yang penting, saya bekerja keras supaya anak-anak saya tidak kebuluran,” ujarnya lagi.
Katanya, pengalaman susah mengajar tentang erti persahabatan yang mana hanya kawan yang jujur dan ikhlas akan bersamanya mengharungi turun dan naik kehidupan.
“Dunia ini penuh sandiwara. Ketika kita susah tidak ramai sahabat yang ingin mendekat dengan kita, malah walau sekadar bertanya khabar.
“Semua menjauh daripada kita. Namun apabila kita meniti kejayaan, ramai yang menghurung kita, sampaikan orang tidak dikenali mengaku kita ini saudara mara mereka.
“Itu pengalaman yang mengajar saya untuk menghargai siapa yang benar-benar ada untuk membantu kita ketika susah,” kongsinya.

RM100 UNTUK MENGACARA DI SEKOLAH TADIKA
Antara satu lagi pengalaman susah yang tidak dapat dilupakan Didie Alias adalah ketika beliau merendahkan dirinya untuk menerima kerja menjadi pengacara sebuah majlis di sekolah tadika demi mencari wang.
Kata Didie, pengalaman tersebut, yang tidak dipadam dalam ingatan sehingga ke hari ini, mengingatkan beliau tentang erti merendah diri.
“Saya pernah ditawarkan menjadi emcee dengan bayaran RM100, dan saya terima tawaran tersebut kerana terdesak perlukan wang.
“Saya perlu duit untuk beli hadiah hari jadi anak saya selain kek kecil. Jadi mahu atau tidak terpaksa, terpaksa ambil bayaran yang sedikit itu.
“Dengan wang itu, saya beli hadiah hari jadi untuk anak saya di kedai RM2 dan sepotong kek. Bagi saya, sebagai ibu, perkara itu memberi kepuasan apabila melihat anak kita gembira,” kongsinya.

LEBIH RELA DIPANGGIL DEMANDING
Didie menegaskan, dia tidak menghiraukan jika ada segelintir pihak yang menggelarkannya pelakon demanding lebih-lebih lagi apabila membabitkan soal bayaran lakonan.
Katanya, sebagai pelakon lama, dia perlu menjaga kadar bayaran yang sepatutnya mereka terima disebabkan ramai pihak yang mengambil kesempatan dengan menawarkan artis lama dengan bayaran ‘celah gigi’.
“Memang selalu sangat saya terima tawaran yang bayarannya tak masuk akal, lebih-lebih pada umur saya yang sekarang. Sangat kerap diajukan tawaran yang bayarannya tak setimpal.
“Artis lama ini tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya daripada industri. Mereka tahu akan kebolehan kami, tapi mereka mengambil kesempatan dengan menawarkan bayaran tidak setimpal.
“Jadi, saya terpaksa bersikap memilih tawaran lakonan. Tak kisahlah orang hendak kata apa. Mereka tidak berada di tempat saya. Yang penting saya kena jaga hak saya sebagai pelakon lama dan kadar harga yang sepatutnya kami terima,” kongsinya.
Kata Didie lagi, pelakon lama masih mempunyai tarikan yang dapat memancing audiens untuk menonton lakonan mereka.
“Ini bergantung kepada usaha untuk menaikkan cerita itu. Kadar bayaran yang saya tetapkan adalah termasuk usaha saya untuk tularkan drama atau filem saya.
“Pelakon lama, yang segelintir orang kata sendu itu, sudah ada nama dan bila-bila masa boleh naik semula. Hidup ini ibarat roda yang berputar,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Didie juga berharap agar kemasukan golongan influencer dalam dunia lakonan dapat dipantau dan disaring kerana jika tidak, industri akan sarat dengan pempengaruh yang tidak berbakat dan hanya bergantung kepada populariti media sosial.
“Kalau diikutkan, hanya segelintir sahaja yang betul-betul boleh berlakon. Yang lain kebanyakannya ‘kayu’. Saya bukan dengki atau menidakkan periuk nasi mereka, tetapi hakikatnya, mereka telah mengakibatkan perjalanan penggambaran terjejas kerana tiada bakat.
“Sebab itu, saya menolak pelakon influencer yang menggunakan populariti media sosial untuk diambil berlakon. Ada antara mereka ini tidak kekal dalam industri, sekadar singgah sementara dan kemudian meneruskan kerja kerja media sosial mereka,” ujarnya.










