Pasaran hartanah catat 108,990 transaksi bernilai RM60.31 bilion pada suku ketiga - Utusan Malaysia

Pasaran hartanah catat 108,990 transaksi bernilai RM60.31 bilion pada suku ketiga

PASARAN hartanah dijangka diterajui oleh segmen rumah berharga antara RM300,000 hingga RM600,000 tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasaran hartanah negara merekodkan 108,990 transaksi bernilai RM60.31 bilion pada suku ketiga 2026, meningkat 0.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan subsektor kediaman terus menguasai aktiviti pasaran.

Subsektor kediaman menyumbang 61 peratus daripada keseluruhan transaksi, diikuti subsektor pertanian sebanyak 18.5 peratus, sekali gus menunjukkan kediaman kekal menjadi penyumbang terbesar kepada aktiviti pasaran harta tanah negara.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Datuk Abdul Razak Yusak berkata, kerangka Ekonomi MADANI menyediakan asas untuk memperkukuh pasaran harta tanah negara serta memastikan manfaat pembangunan sektor itu dapat dinikmati rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, antara inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan 2026 ialah peningkatan jaminan kerajaan sehingga RM20 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu rakyat mendapatkan pembiayaan perumahan.

“Langkah itu membantu menggalakkan permintaan dalam pasaran harta tanah.

“Ia sekali gus memastikan rakyat mempunyai peluang memiliki rumah,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran Siaran Pasaran Harta Suku Ketiga 2026.

Menurut JPPH, pergerakan harga harta tanah negara kekal stabil, manakala aktiviti pembinaan dalam subsektor kediaman, komersial dan industri terus aktif.

“Selain kediaman yang menguasai bahagian terbesar transaksi, subsektor pertanian berada di kedudukan kedua dengan sumbangan 18.5 peratus daripada keseluruhan transaksi.

“Dari segi prestasi tahunan, subsektor komersial mencatatkan pertumbuhan 5.3 peratus, manakala tanah pembangunan meningkat 5.2 peratus.

“Indeks Harga Rumah Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 0.5 peratus kepada 235.4 mata, dengan harga purata rumah sebanyak RM507,809 seunit,” katanya.

JPPH berkata, pasaran harta tanah negara dijangka mengekalkan prestasi stabil, seiring pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh.

Katanya, keberkesanan pelaksanaan inisiatif kerajaan turut dapat dilihat menerusi transaksi rumah mampu milik berharga RM300,000 dan ke bawah yang mendominasi subsektor kediaman dengan menguasai lebih 50 peratus daripada keseluruhan transaksi.

“Prospek positif ini akan terus kukuh, disokong pergerakan harga yang stabil, aktiviti pembinaan aktif dan pertumbuhan transaksi dalam subsektor terpilih,” menurut JPPH.

“Bagaimanapun, prospek keseluruhan pasaran harta tanah masih terdedah kepada perubahan ekonomi luaran selain kekangan kemampuan rakyat untuk memiliki hartanah,” jelasnya.

Menurut JPPH, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh serta pelaksanaan berterusan inisiatif strategik kerajaan menjadi pemangkin kepada momentum pertumbuhan pasaran harta tanah yang stabil.

JPPH akan terus memperkukuh pemantauan menyeluruh terhadap dinamik penawaran dan permintaan bagi memastikan pertumbuhan pasaran harta tanah negara lebih seimbang serta mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini